PENAMPANG: Seorang wanita ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta di parkir sebuah pusat beli bela di daerah ini, pagi tadi.
Kejadian disedari orang awam yang memaklumkan pihak polis selepas mendapati mangsa berusia 39 tahun tidak sedarkan diri dalam keadaan enjin kereta masih hidup.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa warga tempatan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian tempat duduk pemandu kereta jenis Perodua Bezza.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy berkata, polis turut mengesahkan bahawa tidak terdapat sebarang unsur jenayah di lokasi kejadian.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan gambar mangsa dan info yang tidak sahih bagi menjaga sensitiviti keluarga, katanya. – Info X