Search

Gaduh guna kerusi, kayu, sembilan lelaki ditahan di Kinarut

June 23, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Hanya kerana tersalah memanggil nama pengusaha restoran dengan nada kasar, sekumpulan lelaki bertindak bergaduh dalam kejadian di sebuah restoran di Palm Square, Kinarut, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, keadaan menjadi semakin di luar kawalan apabila beberapa rakan kedua-dua pihak turut masuk campur sehingga tercetus ‘pertempuran’ menggunakan kayu dan kerusi.

Kejadian berkenaan sempat dirakam beberapa pengunjung restoran dan orang awam di lokasi sebelum tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi daripada warga netizen.

Difahamkan, semua suspek tampil menyerah diri kepada pihak polis sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, sembilan lelaki berusia 19 hingga 50-an ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian merusuh dan bergaduh.

Katanya, pergaduhan dipercayai berpunca dari salah faham apabila salah seorang suspek yang dikatakan tersalah memanggil nama kepada pengusaha restoran dengan nada yang kasar.

“Kedua dua mereka kemudiannya merasa tidak puas hati dan berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua kumpulan dengan nada kasar.

“Keadaan tegang menjadi luar kawalan apabila dicemari dengan pergaduhan menggunakan kerusi restoran serta kayu sebagai senjata kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Keadaan di lokasi kejadian pergaduhan sekumpulan lelaki yang menggunakan kerusi dan kayu.

Kamaruddin berkata, pergaduhan kemudiannya dapat dileraikan oleh orang ramai dan pengunjung yang berada di lokasi.

Sementara itu, Kamaruddin berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 60 akta sama iaitu melakukan rusuhan serta bergaduh di tempat awam.

“Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Mazlan Mali di talian 013-656 4978 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

“Selain itu, orang awam juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan.

“Kejadian berlaku akibat salah faham dan tidak ada kena mengena dengan masalah global atau perperangan antara dua negara Asia Selatan,” katanya. – Info X