KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan ucapan takziah kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas pemergian isterinya, Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang, awal pagi Isnin.
“Dengan rasa terharu dan amat dukacita, saya bagi pihak Kerajaan Negeri merakamkan ucapan takziah kepada Premier serta keluarga atas kembalinya ke rahmatullah isteri yang dikasihi, Al-Marhumah Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang.
“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Al-Marhumah dan menempatkannya di kalangan insan-insan yang soleh,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Juma’ani, 76, dilaporkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan swasta di Kuching pada jam 3.34 pagi Isnin.
Terdahulu, TVS melaporkan isteri kepada Premier Sarawak, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tuanku Bujang, meninggal dunia di Pusat Pakar Perubatan Normah di Kuching, awal pagi Isnin.
Berita sedih itu dikongsikan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol.
Jenazah Allahyarhamah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Kuching pada jam 1.52 tengah hari, Isnin selepas disembahyangkan di Masjid Jamek Petra Jaya, Kuching pada jam 1.11 tengah hari. – Info X