SIPITANG: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sindumin hari ini membuat satu laporan polis terhadap Albert Tei Jiann Chieng berhubung dakwaan berunsur fitnah dan tohmahan serius yang disiarkan secara terbuka melalui media sosial.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang pada jam 8.56 pagi oleh Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sindumin, Helmy Saidin.
Ia berkaitan satu video siaran media tular di laman Facebook yang menunjukkan Albert membuat pelbagai tuduhan terhadap pimpinan negeri dan pusat termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob.
Dalam laporan itu, Helmi mendakwa bahawa Albert mempertikaikan siasatan dan pendakwaan ke atas beberapa individu politik dan mengaitkan tujuh lagi ADUN termasuk Ketua Menteri, dengan dakwaan tidak berasas, selain turut membuat spekulasi kemungkinan dirinya dianiaya termasuk dibunuh atau diculik.
Antara kenyataan Albert yang dipetik termasuk, ‘bagaimana dengan jerung-jerung yang tertinggal itu? Dua orang sahaja dituduh. Bagaimana dengan tujuh orang lagi? Terutamanya Ketua Menteri, Datuk SeriHajiji Noor’.
Turut dipetik ialah ‘Saya menyuruh seluruh rakyat Malaysia menjadi saksi hari ini jika saya mengalami sebarang musibah selepas ini, saya dibunuh ke, diculik ke, saya hilang tiba-tiba’.
Menurut Helmi, kenyataan itu secara langsung memberi gambaran bahawa Ketua Menteri dan Dr Yusof telah melakukan kesalahan undang-undang, campur tangan dalam proses pendakwaan dan siasatan SPRM serta terlibat dalam perancangan jenayah terhadap Albert termasuk penculikan dan pembunuhan.
Tambah Helmy lagi, tindakan Albert dianggap sebagai cubaan mencemar imej pemimpin negeri serta institusi perundangan negara, dan sebagai satu fitnah jenayah, hasutan serta penghinaan terhadap sistem kehakiman.
Sehubungan itu, Helmy meminta pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap Albert di bawah peruntukan undang-undang.
Katanya, ia termasuk di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (Fitnah Jenayah), Seksyen 4 Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Info X