KOTA KINABALU: Sabah berpotensi menjadi rakan kerjasama pelaburan industri, pelancongan dan pendidikan dengan Kazakhstan berikutan peluang luas ditawarkan negara itu bagi mengembangkan sektor berkenaan secara usahasama dengan negara lain, khususnya Malaysia.
Yang Dipertua Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (ACCI) Sabah Chapter, Datuk Nordin Ening, berkata potensi itu dikenal pasti hasil lawatan kerja beliau di negara berkenaan atas jemputan Dewan Usahawan Kota Almaty (Atamekeh), baru-baru ini.
Beliau berkata, sepanjang tiga hari di Kazakhstan, pihaknya diberi taklimat mengenai potensi yang ada di negara itu menerusi pertemuan rasmi bersama wakil kerajaan Kazakhstan, Tourism Malaysia di Kazakhstan dan Pesuruhjaya Perdagangan, Seksyen Perdagangan, Kedutaan Malaysia di Kazakhstan.
“Lawatan ini bertujuan untuk meneroka potensi kerjasama dua hala dalam pelbagai sektor termasuk pelaburan, pelancongan, pendidikan, minyak dan gas, teknologi maklumat serta pelancongan kesihatan.
“Hasilnya, ada beberapa pencapaian dan potensi utama yang kita dapat kenal pasti daripada lawatan itu untuk diketengahkan di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan berhubung hasil lawatan ACCI itu.
Nordin berkata, sektor pelancongan adalah antara yang berpotensi besar untuk dibangunkan bersama rakan kerjasama di negara itu, terutama untuk membawa pelancong negara berkenaan melawat Sabah.
Katanya, Kazakhstan kini melihat Asia Tenggara, khususnya Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan rakyatnya berikutan ketidakstabilan situasi di Eropah Timur dan Timur Tengah.
Ketika ini, beliau berkata negara itu dihubungkan dengan penerbangan terus Almaty-Kuala Lumpur sebanyak empat kali seminggu dan dijangka bertambah kepada lima kali seminggu bermula bulan ini menerusi perkhidmatan udara yang ditawarkan AirAsia.
“Kerajaan Kazakhstan juga menyuarakan minat membawa lebih ramai pelancong ke Sabah, khususnya ke Kota Kinabalu dan Semporna. Sebelum ini pelancong mereka ramai ke Pulau Langkawi sahaja.
“Namun, promosi secara agresif perlu dilakukan bagi menarik pasaran ini. Sebagai balasan, mereka juga menawarkan pengalaman unik di Kazakhstan seperti jet ski musim salji bermula bulan Oktober, kereta kabel dan aktiviti pelancongan musim sejuk,” katanya.
Beliau berkata, Kazakhstan turut menawarkan peluang pelaburan kepada pelabur Malaysia dalam sektor industri di negara itu yang merangkumi beberapa aktiviti perkilangan yang dilaksanakan di negara Asia Tengah itu.
Antara pelaburan utama di negara bekas Kesatuan Soviet itu yang dibuka kepada pelabur luar ialah Kilang Pembuatan Tali Sawat (Conveyor Belt) yang dibangunkan Kumpulan Aytei, antara pemain utama industri pembinaan infrastruktur di Kazakhstan.
Jelasnya, pelabur Malaysia dijemput menyertai projek itu secara kerjasama pelaburan dengan sasaran untuk mengeluarkan tali sawat berkualiti tinggi bagi kegunaan sektor agrikultur, perlombongan dan industri berat.
“Di sana juga ada potensi pelaburan bagi Pemprosesan Sisa Mineral Teknogenik (TMW) yang mana Kazakhstan masih memiliki lebih lima bilion tan sisa mineral dari era Soviet yang mengandungi logam bernilai tinggi seperti kuprum.
“Mereka memerlukan pelabur industri dari Malaysia untuk membina kilang pemprosesan moden di sana,” katanya.
Selain itu, Nordin berkata, Kazakhstan juga mempunyai kawasan penerokaan minyak di Lapangan Minyak Tortai dalam Wilayah Atyrau dengan rizab geologi sekitar 82.1 juta tong, membabitkan 22 telaga sudah digerudi dan empat daripadanya aktif menghasilkan minyak.
Katanya, kerajaan negara itu turut membuka peluang bagi menyertai projek berkenaan kepada pelabur strategik dari luar negara termasuk Malaysia.
“Satu lagi industri yang sedang berkembang di Kazakhstan ialah pembuatan Kenderaan Elektrik (EV) dan menariknya, Proton telah menandatangani perjanjian membina kilang EV di negara itu.
“Negara itu kini memacu ke arah 80 peratus penggunaan EV di bandar-bandar utamanya yang sangat bersih dan lestari. Ini juga satu peluang pelaburan kepada pelabur dari Malaysia dan Proton sudah mengambil langkah strategik,” katanya.
Sementara itu, dalam bidang teknologi dan pendidikan, Nordin berkata, Kazakhstan turut menyatakan minat untuk membangunkan perbankan Islam dan teknologi kewangan (fintech).
“Mereka juga terbuka untuk kerjasama pertukaran pelajar dan program pendidikan yang lebih memfokuskan kepada Bahasa Inggeris, memandangkan Bahasa Rusia kini semakin berkurangan digunakan.
“Dalam hal ini, kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilihat sesuai dan berpotensi untuk dilaksanakan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata rakyat Kazakhstan kini memilih Malaysia sebagai destinasi utama rawatan perubatan yang berkualiti dan berpatutan dan ia membuka ruang besar untuk pelancongan kesihatan di Sabah, khususnya hospital swasta dan pusat pemulihan.
Nordin berkata, berdasarkan potensi itu, ACCI sedia mengambil peranan sebagai penghubung dan peneroka peluang untuk membawa pelabur dan pemain industri dari Malaysia, khasnya Sabah ke Kazakhstan.
“Kami akan menyusun susulan lawatan ini untuk mempermudah kehadiran pelabur dan pelancong Kazakhstan ke Semporna dan Kota Kinabalu, dan sebaliknya.
“Kami berharap semua agensi dan pemain industri di Sabah, termasuk MATRADE, MITI, Tourism Sabah, MIDA serta sektor swasta akan berganding bahu menyambut potensi ini dengan serius dan berstrategi,” katanya. – Info X