LAHAD DATU: Seekor gajah liar betina dewasa ditemukan mati selepas dipercayai terjatuh ke dalam lubang bawah tanah tangki kumbahan lama di kawasan Danum Valley Field Centre (DVFC), di sini, baru-baru ini.
Kejadian itu dimaklumkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Cawangan Lahad Datu pada malam 31 Oktober lalu oleh pegawai konservasi dan penyelidik di pusat penyelidikan berkenaan.
Menurut sumber, pasukan JHL yang bergegas ke lokasi mendapati haiwan berkenaan masih hidup ketika awal operasi menyelamat dijalankan.
Namun, usaha itu terpaksa dihentikan selepas sekumpulan gajah liar lain muncul berhampiran kawasan berkenaan, menyebabkan keadaan tidak selamat untuk diteruskan.
Bagaimanapun, pemeriksaan semula sekitar jam 1 tengah hari keesokan harinya mendapati gajah itu sudah mati.
Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kesan luka atau tanda-tanda kecederaan mencurigakan pada tubuh haiwan terbabit.
Proses pengebumian bangkai dilakukan di kawasan DVFC mengikut prosedur operasi standard JHL bermula jam 5.15 petang dan selesai kira-kira jam 6.40 petang di bawah seliaan Pegawai Hidupan Liar Daerah Lahad Datu.
Siasatan awal mendapati kematian berpunca daripada struktur tangki kumbahan lama yang tidak ditutup sepenuhnya, sekali gus mengundang risiko kepada haiwan liar di kawasan konservasi berkenaan.
Kejadian itu merupakan insiden pertama melibatkan kematian gajah di Danum Valley tahun ini.
Kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Lain Jabatan (ROA) dan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut. – Info X