Search

PRU Sabah: PKR tanding 10 hingga 12 kerusi, PM dijangka umum Ahad ini

November 4, 2025

Info X Reporters

PUTATAN: PKR hampir pasti bertanding antara 10 hingga 12 kerusi selepas perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Ketuanya, Datuk Mustapha Sakmud, berkata setakat ini empat kerusi di kawasan pantai timur, manakala lima di pantai barat dan pedalaman, disusuli beberapa lagi kerusi masih dalam perbincangan.

Beliau berkata, empat kerusi di pantai timur ialah Gum-Gum, Karamunting, Segama dan Merotai, manakala lima kerusi di pantai barat ialah Inanam, Petagas, Api-Api, Sindumin dan Melalap.

“Ini adalah kerusi tumpuan PKR seperti disenaraikan dalam program Jelajah Harapan Urang Sabah yang dilaksanakan bermula di kawasan pantai timur.

“Sekarang ini ada lagi beberapa perbincangan terakhir, jadi kita akan lihatlah perkembangannya nanti, boleh jadi antara 10 hingga 12 kerusi, tapi itupun bergantung kepada perbincangan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Jelajah Harapan Urang Sabah Petagas, di sini, pada Isnin.

Mustapha berkata, selepas jelajah Gum-Gum, Karamunting, Segama dan Merotai di pantai timur dan disusuli jelajah di Inanam dan Petagas hari ini, program itu akan diteruskan di Sindumin, Melalap dan Api-Api selepas ini.

Setelah itu, katanya satu mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan diadakan pada Ahad nanti dengan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR.

“Kita akan berehat dalam beberapa hari dan selepas ini kita akan terus habiskan jelajah ini di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tumpuan yang lain dan ini akan disimpulkan oleh mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat yang akan diadakan di Kota Kinabalu pada 9 November ini.

“Kita mulakan dengan mesyuarat Biro Politik, disusuli mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat dan pada malam itu, 9 November, InsyaAllah presiden parti akan mengumumkan kawasan yang kita bakal tandingi.

“Beliau juga akan mengumumkan calon yang kita akan namakan. Jadi kita harap jelajah ini akan menaikkan semangat jentera kita untuk bersedia menghadapi PRN17,” katanya. – Info X