KOTA KINABALU: Seekor gajah dikesan mengalami kecederaan belalai dipercayai berlaku di kawasan ladang FELDA Kalabakan Selatan di Kalabakan, baru-baru ini.
Ia berdasarkan satu rakaman video tular di media sosial yang menunjukkan seekor gajah dengan keadaan belalainya kelihatan luka yang terbuka.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin dalam kenyataannya berhubung perkara itu, berkata aduan mengenai gajah berkenaan dilaporkan pada minggu lalu.
Selepas menerima maklumat itu, katanya operasi mencari dan pemantauan lapangan dilaksanakan pada 13 dan 14 Mei lalu bagi mengesan gajah terbabit, namun tidak ditemui.
“Disebabkan tidak dapat dijejaki, usaha menyelamat tidak dapat dilaksanakan dan tindakan seterusnya bergantung kepada maklumat baharu atau laporan tambahan dari lapangan,” katanya.
Beliau berkata, maklum balas awal pasukan veterinar menyatakan kecederaan membabitkan belalai gajah adalah sangat kompleks.
Katanya, sama ada prosedur pembinaan atau penyambungan semula belalai boleh dipertimbangkan, kebarangkalian kejayaan pemulihan fungsi normal anggota tubuh gajah itu akan berkurang.
“Pakar veterinar juga menasihatkan usaha menyelamat perlu membabitkan banyak perkara berbanding rawatan segera luka.
“Bergantung kepada keadaan gajah, ia mungkin memerlukan pembedahan bagi membuang tisu yang rosak atau membina semula otot belalai, diikuti penjagaan selepas pembedahan, rawatan harian, pengurusan makanan dan pemantauan berterusan sehingga dua minggu,” katanya.
Jafry berkata, pemerhatian awal mencadangkan luka dialami gajah terbabit menunjukkan tanda pemulihan, namun pembukaan luka kelihatan tidak ideal.
Ketika ini, katanya pemantauan rapat dijalankan petugas Jabatan Hidupan Liar (JHL), manakala keadaan luka dialami gajah terbabit tidak menunjukkan sebarang ancaman terhadap nyawanya.
Sementara itu, katanya punca kecederaan dialami gajah terbabit masih dalam siasatan, termasuk disebabkan jerat dan kemungkinan objek tajam seperti pisau mengait tandan kelapa sawit yang tertinggal di ladang.
“Kementerian saya akan terus bekerja rapat dengan JHL dan semua pihak berkepentingan untuk memantau kes ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya. – Info X