Search

Subsidi petrol bersasar wajar dilaksana segera demi kelestarian fiskal negara

May 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pelaksanaan subsidi petrol bersasar terutama membabitkan golongan berpendapatan tinggi perlu disegerakan bagi memastikan kedudukan fiskal negara kekal mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Felo Penyelidik Pusat Pembangunan dan Perancangan Ekonomi, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Universiti Malaysia Sabah, Prof Dr Caroline Geetha B. Arokiadasan, berkata pendekatan subsidi menyeluruh yang diamalkan sebelum ini perlu disemak semula susulan peningkatan beban kewangan kerajaan serta tekanan ekonomi global.

Katanya, subsidi diwujudkan bagi membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat di samping meningkatkan kebajikan pengguna dan pengeluar, namun pelaksanaannya selama ini diberikan secara umum tanpa mengira kategori pendapatan seperti B40, M40 dan T20.

Beliau berkata, keadaan ekonomi semasa menuntut kerajaan melaksanakan pendekatan perbelanjaan yang lebih berhemah dan menyalurkan bantuan secara lebih tepat kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan.

“Fokus utama ketika ini bukan lagi sama ada subsidi perlu diberikan atau tidak, sebaliknya menentukan kumpulan yang benar-benar layak menerima bantuan tersebut.

“Golongan T20 dikenal pasti menggunakan hampir 40 hingga 50 peratus daripada subsidi petrol negara, sekali gus memberi tekanan besar terhadap perbelanjaan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pelaksanaan sistem kuota atau tier pricing system mampu membantu kerajaan mengurangkan beban kewangan selain memperkukuh kedudukan fiskal negara ke arah yang lebih lestari.

Pada masa sama, beliau mengakui pelaksanaan subsidi bersasar berdepan beberapa cabaran termasuk memastikan data pendapatan rakyat sentiasa tepat serta dikemas kini bagi mengelakkan golongan layak tercicir daripada menerima bantuan.

Katanya, kerajaan juga perlu mewujudkan mekanisme pengagihan subsidi yang telus, berintegriti dan mempunyai tahap akauntabiliti tinggi bagi memastikan pelaksanaannya lebih berkesan.

Selain itu, beliau menekankan kepentingan memperkukuh sistem sokongan termasuk pengangkutan awam supaya rakyat mempunyai alternatif selain bergantung kepada penggunaan kenderaan persendirian.

Mengulas kesan pelaksanaan dasar itu terhadap kos sara hidup, Geetha berkata reformasi ekonomi lazimnya akan mewujudkan kejutan awal kepada masyarakat sebelum keadaan kembali stabil.

“Pada peringkat awal memang wujud ketidakseimbangan kerana rakyat perlu keluar daripada zon selesa, namun akhirnya masyarakat akan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, reformasi subsidi yang lebih tepat turut berupaya mengelakkan kerajaan daripada terus meningkatkan cukai atau menambah hutang negara bagi menampung perbelanjaan semasa.

Katanya, peningkatan hutang kerajaan boleh memberi implikasi besar kepada generasi akan datang selain mengehadkan keupayaan negara menyalurkan peruntukan kepada sektor penting seperti pendidikan, kesihatan dan pembangunan infrastruktur.

Dalam masa sama, beliau berkata pelaksanaan subsidi bersasar dijangka mengubah pola penggunaan rakyat ke arah lebih berhemah termasuk menggalakkan amalan berkongsi kenderaan, penggunaan pengangkutan awam serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu.

“Reformasi subsidi merupakan langkah yang perlu dilaksanakan segera bagi memastikan kelestarian kewangan negara serta memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia pada masa hadapan,” katanya. – Info X