Search

GAJI, UPAH PENJAWAT AWAM AKAN DIBINCANG SEMULA – PM

February 28, 2023

admin

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kadar gaji serta upah penjawat awam bakal dibincang semula selepas ‘kantung’ kewangan negara bertambah baik.

Anwar berkata, situasi juga akan dilihat melalui defisit kewangan negara dapat dikurangkan atau sebaliknya.

“Secara peribadi, saya tidak berpuas hati dengan melihat kadar gaji dan upah penjawat awam berbanding tugas serta komitmen diberikan.

“Bagaimanapun, perkara ini perlu dinilai berdasarkan kemampuan kewangan negara ketika ini.

“Sekiranya kantung bertambah baik dan defisit dikurangkan, kita boleh menaikan gaji serta upah.

“Antaranya di negeri, kemudian hasil bertambah, proses itu (kantung negara bertambah baik) boleh dipercepat.

“Cuma untuk hari ini, saya fikir sukarlah. Itu nanti kita bincang dahulu,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) Terminal 2 kira-kira jam 4 petang tadi untuk lawatan rasmi dua hari Sabah.

Ketibaan Anwar disambut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Juliah Sala; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew; Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, Datuk Dr Yusof Yacob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali. – Info X