KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menggesa anggota perkhidmatan awam negeri serta Persekutuan untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan negeri bawah pimpinannya dalam usaha memajukan Sabah.
Beliau berkata, sekarang adalah masa untuk bekerja keras membangunkan semula ekonomi negeri dan memajukan rakyat.
“Percayalah setiap daripada kita menginginkan kerajaan yang stabil, negeri dan negara yang makmur agar dapat hidup dengan aman dan sentosa.
“Sebagai anggota perkhidmatan awam, kita seharusnya memberikan tumpuan
sepenuhnya terhadap segala usaha bagi membina semula ekonomi negeri dan
membela nasib rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Menteri, Datuk Seri
Anwar Ibrahim kepada Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan di Sabah bertempat di Sabah International Convention Centre (SICC), hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, walaupun beliau baru lebih dua tahun menerajui kepimpinan negeri namun cabaran dan ujian yang dilaluinya begitu luar biasa.
“Terlepas daripada ancaman pandemik, berhadapan pula dengan cabaran
kegawatan politik dan ekonomi, dan dalam kita sedang menyusun segala strategi untuk memperkukuhkan pentadbiran serta memulihkan ekonomi negeri, tiba-tiba datang lagi ujian baharu berupa cubaan untuk mengganggu dan menjatuhkan kerajaan.
“Sungguh luar biasa ujian dan tribulasi yang datang silih berganti tetapi saya sangat bernasib baik kerana mempunyai rakan-rakan dalam kepimpinan negeri, termasuk jentera kerajaan iaitu anggota perkhidmatan awam yang tetap memberikan sokongan dalam usaha gigih untuk memajukan negeri dan mensejahterakan rakyat.
“Sebagai jentera pelaksana dasar dan program pembangunan kerajaan,
anggota perkhidmatan awam menjadi pemangkin bagi merealisasikan apa jua dasar dan perancangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Menerusi konteks negeri Sabah, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya
(SMJ) 1.0 merupakan wadah untuk menempatkan semula Sabah pada landasan yang tepat ke arah kemajuan dan pembangunan yang holistik merangkumi kemakmuran ekonomi, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat.
“Pendekatan itu adalah selaras dan selari dengan aspirasi Perdana Menteri yang telah memperkenalkan gagasan besar Malaysia Madani sebagai paradigma baharu untuk negara mengolah hala tuju dasar dan pelaksanaan strategi yang merentas semua sektor termasuklah kemanusiaan dan modal insan, ke arah mengangkat semula martabat
negara di persada dunia,” katanya. – Info X