KOTA KINABALU: Pengurus Besar Sabah FC, Mohd Joh Wid menjelaskan masalah yang dikaitkan dengan pembayaran gaji dihadapi Sabah FC tidak seteruk seperti yang digambarkan segelintir pengamal media sosial.
Beliau menegaskan khabar angin berhubung masalah itu yang disebarkan sejak kebelakangan ini lebih berupa tuduhan sembarangan atau andaian pihak yang menulis perkara terbabit.
Jelasnya, beliau tidak mahu menjawab isu itu kerana ia bakal mengundang polemik baharu yang akan memanjangkan lagi perdebatan di media sosial hingga menjejaskan tumpuan terhadap usaha memantapkan pasukan.
Mohd Joh juga menjelaskan bahawa penyebaran khabar angin itu mempunyai motif lain untuk mengganggu emosi pemain dan melemahkan pasukan dalam menghadapi saingan musim ini.
“Saya tidak akan menjawab tuduhan mengenai perkara ini (masalah pembayaran gaji) kerana ia akan memanjangkan lagi isu, bukannya meredakan apa yang dibangkitkan itu.
“Apa yang saya boleh katakan, gaji pemain akan tetap dibayar dan saya mahu sebut situasi Sabah FC ketika ini tidak seteruk seperti apa yang dicakap di media sosial itu.
“Saya tidak mahu akan timbul lagi polemik lain jika saya menjawab perkara itu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau diminta mengulas sejauh mana kebenaran masalah pembayaran gaji pemain Sabah FC seperti disebarkan di media sosial yang antara lain menyebut bayaran pemain tertunggak hingga empat bulan.
Mohd Joh yang baru dilantik sebagai Pengurus Besar Sabah FC, berkata isu tunggakan gaji pemain sudah dijelaskannya pada perjumpaan bersama media sebelum bermulanya saingan liga musim ini pada 26 April lalu.
Sementara itu, beliau berkata tumpuan kini seharusnya diberikan kepada usaha untuk membantu skuad Sang Badak melakar kejayaan dalam setiap perlawanan yang dihadapi.
Jelasnya, Sabah FC juga memerlukan bantuan media untuk membuat laporan yang positif berhubung perjalanan pasukan berbanding melaporkan perkara yang tidak sahih atau berupa tuduhan.
Beliau berkata, sokongan moral peminat bola sepak juga amat diperlukan untuk menaikkan motivasi pemain agar dapat memberikan persembahan yang mantap setiap kali perlawanan. – Info X