KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI) diarah memberi keutamaan terhadap golongan miskin tegar dalam pelan tindakan dan program yang dilaksanakan kementerian itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberikan arahan itu bagi memastikan MAFFI tidak melupakan golongan miskin sebagai inisiatif untuk membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.
“Di bawah data eKasih sehingga 18 Mei tahun ini, ketua isi rumah miskin tegar di Sabah turun kepada 8,699. Saya mahu lebih banyak inisiatif di bawah MAFFI akan membabitkan mereka (miskin tegar).
“Kita mahu pastikan mereka dikeluarkan daripada kemiskinan,” katanya selepas lawatan kerja ke MAFFI di Wisma Pertanian Sabah, di sini, hari ini.
Beliau disambut Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong.
Berdasarkan taklimat empat jabatan dan empat agensi di bawah MAFFI, Hajiji berkata ketika ini sudah ada perancangan untuk menggalakkan perkembangan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan.
Paling penting, katanya Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) yang diluluskan baru-baru ini mesti dilaksanakan segera dalam usaha meningkatkan tahap sara diri (SSL) makanan Sabah.
Hajiji juga mahu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang mempunyai tanah tidak digunakan supaya dibangunkan untuk pertanian, khususnya padi seperti diberi mandat oleh Kabinet negeri.
Dalam hal itu, katanya MAFFI boleh menyediakan bimbingan dan sumber yang diperlukan.
Terdahulu, Jeffrey mendedahkan dengan penubuhan LPBS, pihaknya menyasarkan tahap SSL mencapai 65 peratus pada 2030 dan 100 peratus pada 2035.
Beliau berkata kementeriannya kini sedang melantik 15 ahli lembaga pengarah termasuk Pengerusi LPBS.
“Tumpuan LPBS ialah untuk meningkatkan tuaian padi daripada purata 2.9 tan metrik kepada tujuh tan metrik sehektar menjelang 2030, membangunkan sawah padi terbiar untuk meningkatkan keluasan dan membuka sawah padi baharu melalui kerjasana dengan GLC negeri dan pelabur swasta,” katanya.
Beliau menambah, bidang kuasa LPBS termasuk mengeluarkan lesen dan permit eksport serta import, selain membungkus dan menjual padi serta beras di Sabah. – Info X