KOTA KINABALU: Sabah FC semakin dikenali dalam arena bola sepak Asia Tenggara menerusi penyertaannya pada Kejohanan Antarabangsa RCTI Premium Sports di Jakarta, Indonesia, baru-baru ini.
Ketua Jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee, berkata jemputan Rajawali Citra Televisi Indonesia (RCTI) selaku penganjur kejohanan itu amat dihargai dan beliau berharap ia dapat dijadikan acara tahunan.
Kim Swee menyifatkan, selain menjadi medan yang dapat mengukur keupayaan dan menguji pemain, ia juga meningkatkan nama Sabah FC di rantau Asia Tenggara.
“Sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC, kejohanan ini dilihat sebagai medan yang dapat mengukur keupayaan dan menguji setiap pemain.
“Ini sudah tentu akan meningkatkan nama Sabah FC di persada sukan bola sepak di rantau Asia Tenggara serta dapat meningkatkan keupayaan pemain sekali gus menunjukkan kejohanan ini antara yang dinantikan setiap pasukan untuk menyertainya.
“Syabas dan tahniah diucapkan semoga kejohanan ini dijadikan sebagai acara tahunan dan diperluaskan lagi pasukan yang menyertainya,” katanya menerusi satu kenyataan berhubung kejohanan itu, di sini, hari ini.
Kejohanan julung kali yang berlangsung pada 30 Mei hingga 2 Jun lalu itu menyaksikan Skuad Sang Badak berjaya menduduki tempat ketiga Kejohanan selepas menewaskan PSIS Semarang dari Indonesia.
Selangor FC yang turut diundang ke kejohanan berkenaan pula merangkul juara selepas menewaskan Persija Jakarta pada perlawanan akhir.
Berikutan itu, Kim Swee mengucapkan terima kasih kepada RCTI atas jemputan menyertai edisi sulung berkenaan yang berlangsung di Jakarta International Stadium.
“Ini adalah satu pengiktirafan kepada Sabah FC sebagai antara empat pasukan yang dijemput untuk menyertai kejohanan berprestij itu,” katanya. – Info X