KOTA KINABALU: Sebahagian pengguna di kawasan utara bandar raya Kota Kinabalu dijadual mengalami gangguan bekalan air pada Selasa, 25 Februari ini.
Menerusi satu kenyataan, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata gangguan yang bermula jam 8 pagi itu disebabkan penutupan bekalan untuk kerja pembaikan segera.
Jelasnya, pembaikan itu membabitkan kerosakan lapan injap angin di sepanjang jajaran paip dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong II di Tuaran dan satu pam air terawat di loji berkenaan.
“Sepanjang tempoh pembaikan, LRA Telibong II akan beroperasi pada kapasiti terhad, hanya menghasilkan 75 Juta Liter Sehari (JLH) berbanding kapasiti biasa sebanyak 96 JLH.
“Ia membabitkan pengurangan sebanyak 21 peratus pengeluaran air terawat dari loji berkenaan,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Katanya, antara yang terjejas akibat kerja pembaikan itu ialah kilang SK Nexilis dan Kibing Solar di KKIP, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Hospital Likas serta 1 Borneo.
Turut terbabit ialah kawasan Kingfisher Sulaman, Ujana Kingfisher, Kingfisher Raja Udang, Sulaman Sentral, Indah Permai dan Sepanggar.
Selain itu, kawasan Institut Kemahiran Mara (IKM), Institut Latihan Perindustrian (ILP,) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Sekolah Sukan Malaysia (SSM) Sabah, UiTM Kota Kinabalu, Nexus Karambunai, Politeknik Kota Kinabalu dan Gayang, Tuaran turut terkesan.
Berikutan itu, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri menasihati pengguna di kawasan yang terbabit supaya mengumpul air untuk kegunaan sementara sepanjang gangguan bekalan itu nanti.
“Bagi mengurangkan kesan gangguan bekalan air, tindakan mitigasi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) akan dilaksanakan sepanjang tempoh gangguan tersebut.
“Namun, orang ramai dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sehingga bekalan kembali pulih sepenuhnya.
“Pasukan teknikal yang dilantik akan bekerja sepanjang masa bagi memastikan pembaikan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan untuk mengurangkan impak kepada pengguna,” katanya.
Apabila kerja pembaikan itu selesai, katanya kadar kemasukan air ke tangki utama dapat ditingkatkan dan isu gangguan air di kawasan hujung sistem bekalan seperti Gayang, TLDM, UMS, Hospital Likas, Kingfisher, Menara Kinabalu, Taman Cerah dan kawasan sekitarnya dapat dikurangkan.
“Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui pengumuman rasmi. Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke talian Careline Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) atau melalui laman web dan media sosial rasmi JANS,” katanya. – Info X