Search

Gempa bumi di Kundasang

April 21, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 skala Richter dikesan berlaku di Kundasang pada jam 3.02 pagi tadi.

Berdasarkan info dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), gempa bumi berlaku di koordinat 6.1 darjah utara dan 116.7 darjah timur.

Pusat gempa itu terletak lapan kilometer di barat laut Ranau dengan kedalaman 10 kilometer.

MetMalaysia berkata, gegaran mungkin dirasai di sekitar Ranau.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pemantauan awal di sekitar Pekan Ranau dan Kundasang tidak menemui sebarang kerosakan setakat ini.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau menjalankan rondaan pada jam 6.35 pagi membabitkan premis kedai, bangunan kerajaan serta kawasan tumpuan awam.

“Hasil makluman orang awam dan pemerhatian di lokasi mendapati tiada kerosakan struktur dilaporkan, keadaan terkawal serta selamat, selain tiada kecederaan atau insiden susulan direkodkan,” katanya.

JBPM Sabah memaklumkan pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa selain bersedia menghadapi sebarang kemungkinan gempa susulan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya kekal tenang dan berwaspada, selain mengelakkan memasuki bangunan sekiranya terdapat keraguan terhadap struktur. – Info X