TAWAU: Perjalanan pulang seorang kontraktor elektrik bertukar detik cemas apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang lampu dalam kejadian kemalangan di Batu 11, Jalan Apas, semalam.
Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, jip jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 44 tahun bersama seorang penumpang lelaki, 41, dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Kampung Inderasabah menuju ke Batu 4 selepas selesai menjalankan kerja pembaikan wayar elektrik milik Sabah Electricity.
“Setibanya di selekoh, pemandu dipercayai hilang kawalan menyebabkan jip terbabas dan terseret kira-kira 35 meter sebelum menaiki pembahagi jalan.
“Kenderaan itu kemudian merempuh tiang lampu jalan hingga tumbang sebelum terkena sebuah Proton Saga yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, Proton Saga berkenaan dipandu wanita berusia 35 tahun dari arah Batu 10 menuju ke Kampung Mambalua.
Katanya, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun penumpang jip cedera patah bahu kanan dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati terutama ketika melalui kawasan berselekoh serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum digunakan. – Info X