KOTA MARUDU: Beberapa kawasan sekitar daerah ini dilaporkan bergegar akibat gempa bumi lemah yang berlaku pada jam 10.39 pagi tadi.
Penduduk beberapa kampung seperti Gana, Talantang dan sekitar pekan mendakwa merasai gegaran akibat gempa bumi bermagnitud 3.8 pada skala Richter itu.
Seorang penduduk Kampung Gana berkongsi gegaran yang berlaku di kampungnya melalui media sosial mengatakan dia tiba-tiba merasa pening apabila rumah bergoyang.
“Di Kampung Gana gegaran agak kuat dirasai, rasa pening sekejap tadi,” katanya.

Selain itu, ada pekerja pejabat di daerah itu mengakui berlaku gegaran kecil di premis mereka, tapi tidak menyangka ia disebabkan gempa bumi.
Difahamkan ia adalah kejadian pertama dalam tempoh lima tahun selepas gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 yang dilaporkan di daerah itu pada 10 Mac 2020.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kota Marudu melaksanakan pemantauan di sekitar pekan Kota Marudu sejurus menerima maklumat mengenai kejadian gempa bumi itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hasbi Hajat, berkata pemantauan dilakukan bagi mengenal pasti jika berlaku kerosakan atau kemalangan disebabkan kejadian berkenaan.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang kerosakan dilaporkan dan beberapa penduduk yang ditemui mengatakan tidak merasai apa-apa gegaran.
“Mungkin ada gegaran dirasai di tempat lain, namun tiada sebarang laporan yang diterima setakat ini. Pemantauan dilaksanakan di premis yang berisiko,” katanya ketika dihubungi.
Berdasarkkanan laporan Jabatan Meteorologi (Met Malaysia), gegaran berkekuatan 3.8 skala Richter itu dilapor berlaku di koordinat 6.3 darjah utara dan 116.8 darjah timur.
Lokasi gempa bumi terletak 27 kilometer di selatan Kota Marudu dengan kedalaman 10 kilometer dari permukaan bumi.
Met Malaysia berkata, gegaran akibat gempa bumi itu mungkin dirasai penduduk di daerah berkenaan. – Info X