Search

Program ‘Back to School’ bantu persiapan anak-anak ke sekolah

February 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Menyedari kesukaran ibu bapa berpendapatan rendah menyiapkan kelengkapan sekolah anak-anak, inisiatif diambil untuk membantu golongan berkenaan menerusi program ‘Back to School’ menjelang pembukaan sekolah minggu depan.

Antara yang tampil menjayakan program itu ialah Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Darau menerusi program yang diadakan di Dewan Kampung Warisan, Inanam, di sini, pada Ahad.

Program itu mendapat sambutan memberangsangkan dengan kehadiran lebih 500 pengunjung dari Kampung Warisan dan beberapa kampung sekitarnya seperti Kalansanan.

Ketua Gagasan Rakyat Darau, Datuk Mohamed Razali Razi berkata, penganjuran program itu antara lain untuk memberi sokongan moral dan fizikal kepada kanak-kanak yang akan kembali ke sekolah selain memberi kesedaran pentingnya pendidikan serta berkongsi rezeki dengan komuniti sekitar.

“Jadi antara lain objektifnya kita hadir sama atas nama Gagasan Rakyat antara lain untuk bersama dengan komuniti yang ada di sini.

“Kita hadir dengan niat hati yang ikhlas, dengan niat berkongsi rezeki dan sekurang-kurangnya ini boleh juga meringankan beban ibu bapa yang hadir sama pada hari ini.

“InsyaAllah hubungan baik parti kita dengan komuniti di kampung ini akan diteruskan pada masa-masa akan datang termasuk program-program yang sudah dirancang untuk bulan Ramadan nanti dan kita mengharapkan apa yang kita lakukan hari ini sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan program berkenaan.

Hadir sama Ketua Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat, Emmie Martin Idang dan Ketua Beliawanis Gagasan Rakyat Darau, Nur Fatin Syafiqah Mohmad Wahid.

Sementara itu, Emmie berkata, program itu turut berfungsi menyemarakkan semangat murid dan ibu bapa dalam menghadapi sesi persekolahan yang akan datang.

“Pendidikan adalah antara kunci kejayaan dan usaha yang berterusan akan membuahkan hasil yang cemerlang kepada diri masing-masing seterusnya boleh diaplikasikan untuk membantu memajukan komuniti setempat, negeri dan negara amnya.

“Saya juga melihat dan belajar, di mana apabila kita masuk ke satu-satu kawasan itu, kita lihat dan kita belajar. Begitu juga bila kita masuk ke sekolah nanti, kita belajar, kita sedar kelemahan kita, praktikkan apa yang baik dan buang perkara yang tidak baik ke tepi sambil mengambil pengajaran dari setiap apa yang berlaku,” katanya.

Program ‘Back to School’ itu turut memberi peluang kepada peniaga sekitar kampung berkenaan untuk menjana pendapatan dengan membuka sebanyak 13 gerai jualan makanan dan minuman.

Perkhidmatan gunting rambut turut disediakan kepada murid dan pelajar menerusi kerjasama Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Sabah.

Beberapa agensi turut bersama-sama dalam program itu termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Jabatan Kebajikan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beg sekolah turut diagihkan kepada kanak-kanak yang hadir pada program itu. – Info X