KOTA KINABALU: Pemimpin UMNO Sabah mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal membawa kemajuan yang benar-benar bermakna kepada negeri ini.
Ketua Penerangannya, Datuk Suhaimi Nasir, berkata dakwaan kerajaan negeri pimpinan GRS ketika ini, khususnya dalam menyelesaikan isu infrastruktur yang menjadi legasi atau ditinggalkan kerajaan terdahulu hanyalah retorik semata-mata.
Menerusi satu kenyataan, di sini, beliau mendakwa Sabah kini berdepan pembangunan infrastruktur yang perlahan kerana masih banyak kawasan terutama di luar bandar ketinggalan dari segi pembangunan asas jalan raya, bekalan air bersih, dan elektrik.
Malah, katanya prasarana asas itu di seluruh negeri menjadi semakin teruk disebabkan kegagalan kerajaan menambah baik kemudahan sedia ada.
“Dalam soal legasi pula, ramai menteri Kabinet kerajaan sekarang merupakan ahli-ahli Kabinet Sabah kerajaan terdahulu seperti YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan YB Datuk Seri Panglima Masidi Manjun. Bukankah ini legasi mereka,” katanya.
Ahli Parlimen Libaran itu turut menyalahkan kerajaan negeri atas kegagalan mengurangkan jurang pembangunan yang masih ketara di antara Sabah dan Semenanjung.
Katanya, Sabah kekal sebagai salah satu negeri yang paling ketinggalan dari segi kemudahan asas dan peluang ekonomi sehingga lapan daerah dikategorikan sebagai termiskin.
“Namun demikian, YAB Ketua Menteri Hajiji dengan bangganya mengumumkan Sabah berjaya menghapuskan miskin tegar pada Ogos lalu.
“Tapi, pada kenyataan September 2024, beliau mengumumkan penambahan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk memberi ruang kepada golongan miskin tegar.
“Dua kenyataan yang berbeza dan tidak jelas sehingga menjejaskan kepercayaan pelabur dalam dan luar negara,” katanya.
Suhaimi turut mendakwa berlaku ketidakstabilan politik dalaman berikutan terdapat tanda-tanda perpecahan dalam kalangan parti komponen GRS.
Katanya agenda parti ‘local’ yang dibawa GRS hanya membohongi rakyat kerana kerajaan negeri sekarang masih dibarisi parti nasional seperti PKR dan DAP.
“Kepimpinan GRS juga gagal mewujudkan kestabilan politik yang diperlukan untuk kemajuan jangka panjang. Perpecahan dalam kalangan parti komponen dan kegagalan menyatukan kepimpinan menunjukkan kerajaan negeri tidak fokus kepada agenda pembangunan yang komprehensif.
“Agenda lokal yang dibawa GRS, ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ dengan penekanan kepada pemerkasaan parti lokal membohong rakyat demi menjaga kepentingan jawatan serta kuasa. Ini kerana Kerajaan Sabah sekarang terdiri daripada parti nasional seperti PKR dan DAP.
“Tambahan, Ketua Menteri merangkap Ketua GRS sendiri mengatakan keperluan untuk jalinan kerjasama politik bersama parti nasional pada PRN17 sedangkan Presiden-Presiden parti komponen GRS yang lain berpendapat bahawa GRS perlu bertanding secara sendirian,” katanya.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik itu turut mengungkit kegagalan kerajaan negeri memacu pembangunan ekonomi berikutan pertumbuhan ekonomi Sabah yang didakwanya bergerak perlahan.
Jelasnya, ia dibuktikan menerusi kenyataan Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun yang mengatakan bahawa sehingga Oktober 2024 kutipan hasil Sabah rendah berbanding tahun lalu.
“Alasan yang diberikan adalah kerana kutipan hasil utama kerajaan bergantung kepada pengeluaran minyak mentah dan minyak sawit, sedangkan Sabah kaya dengan hasil-hasil lain untuk dibangunkan.
“Sektor utama seperti pelancongan, perladangan, dan perikanan belum menunjukkan perkembangan ketara. Tambahan pula, pelaburan dari luar negeri tidak menunjukkan lonjakan yang diharapkan, sekali gus mengehadkan potensi ekonomi Sabah.
“Apa terjadi dengan memorandum persefahaman (MoU) yang dilaungkan berbilion-bilion oleh Kerajaan GRS, antaranya seperti projek bandar Pavilion Harbour City (RM2 bilion), Integrated Herbal Plantation dan Lok Kawi Resort City (RM7 bilion).
“Adakah MoU-MoU ini sekadar retorik yang tidak membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat,” katanya.
Suhaimi berkata, semua kegagalan itu hanya akan terus membebankan rakyat dan menghalang negeri ini daripada mencapai potensinya yang sebenar. – Info X