Search

RM130 juta naik taraf Lapangan Terbang Tawau mulai tahun depan

October 7, 2024

Info X Reporters

TAWAU: Lapangan Terbang Tawau (LTT) bakal dinaik taraf membabitkan peruntukan RM130 juta yang dijangka dimulakan pada tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata sebanyak 16 syarikat sudah disenarai pendek untuk proses lantikan kontraktor utama dan dijangka dimuktamatkan menjelang tahun depan.

Katanya, pihak kementerian mahu projek itu dapat dimulakan pada awal tahun depan dan siap dalam tempoh tiga tahun.

“Kawasan lapangan terbang ini akan diperluaskan hampir 50 peratus dan dijangka kapasiti penumpang bertambah daripada 1.5 juta setahun kepada 2.5 juta.

“Selain meluaskan bangunan terminal, kita juga akan mengubah suai dan mengindahkan kawasan dalaman bangunan sedia ada,” katanya ditemui pada lawatan kerjanya di Tawau, hari ini.

Katanya, bangunan LTT sekarang ini perlu ditambah baik berikutan keadaannya yang semakin usang dan tidak begitu baik.

Jelasnya, projek naik taraf akan menambahkan keluasan bangunan terminal daripada 15,800 meter persegi menjadi 23,500 meter persegi.

Beliau berkata, apabila siap nanti, kaunter daftar masuk penumpang turut ditambah daripada 12 kaunter kepada 20 kaunter.

“Paling penting bangunannya akan berubah wajah menjadi terminal berhawa dingin sepenuhnya memandangkan sekarang ini hanya separuh berhawa dingin sahaja,” katanya.

Beliau berkata, kementerian sudah mengarahkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengambil langkah jangka pendek untuk keselesaan penumpang sementara menunggu kerja naik taraf siap.

Antaranya, Anthony berkata MAHB diminta menambah penyejuk udara di kawasan tumpuan ramai di lapangan terbang itu terutama di ruangan menunggu.

MAHB juga katanya, diminta menambah baik khidmat pelanggan dengan menyediakan kakitangan yang boleh berbahasa asing seperti Mandarin dan Arab.

“Kerajaan melihat keperluan menaik taraf LTT memandangkan ia adalah pintu masuk utama pelancong untuk ke lokasi tumpuan pelancongan di Semporna.

“Sebelum ini, kementerian menerima maklumat mengenai kesesakan yang berlaku di LTT disebabkan jumlah pelancong luar negara semakin bertambah.

“Kita menjangkakan tahun ini LTT akan menerima jumlah pelancong yang agak tinggi disebabkan banyak penerbangan terus dari China,” katanya. – Info X