Search

GRS pastikan tiada golongan miskin, miskin tegar tercicir terima bantuan SYUKUR

January 26, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menggerakkan jenteranya di semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi mengesan golongan miskin dan miskin tegar supaya tiada yang tercicir menerima manfaat bantuan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) 2025.

Setiausaha Eksekutif GRS, Datuk Mohd Razali Mohd Razi, berkata senarai nama yang dikumpul akan diserahkan kepada Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras pelaksanaan program itu.

“Mekanisme pelaksanaan Program SYUKUR telah diluluskan oleh Kabinet Negeri dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada Rabu lalu telah mengarahkan pelaksanaan bantuan program ini dengan serta merta.

“Di bawah program ini, ketua isi rumah (KIR) miskin dan miskin tegar di Sabah akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM300, yang akan dilaksanakan secara berperingkat setiap suku tahun,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Datuk Mohd Razali Mohd Razi.

Beliau berkata, SYUKUR adalah antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk meringankan beban sara hidup rakyat, sebagai tambahan kepada program bantuan tunai yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan melalui Program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA). – Info X