Search

Guna LC ‘cantik’, rupanya nombor casis dan enjin meragukan

May 24, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Taktik dua lelaki menggunakan motosikal Yamaha LC135 dipercayai ‘clone’ terbongkar selepas mereka ditahan polis dalam pemeriksaan di Batu 3 1/2, Jalan Apas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menjalankan pemeriksaan terhadap dua motosikal di hadapan sebuah bengkel motosikal di Taman Sri Aman.

Pemeriksaan kemudian mendapati nombor casis dan nombor enjin kedua-dua motosikal berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, dua lelaki berusia 28 dan 29 tahun termasuk seorang warga asing terus ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap sebuah Yamaha LC135 hitam mendapati nombor casis motosikal itu sebenarnya didaftarkan kepada motosikal lain manakala nombor enjinnya pula menggunakan rekod kenderaan berbeza.

“Pemeriksaan ke atas sebuah lagi Yamaha LC135 warna silver tanpa nombor pendaftaran pula mendapati nombor casis tidak mempunyai rekod selain nombor enjinnya dipercayai sudah diganggu.

“Kedua-dua suspek juga gagal memberikan penjelasan munasabah berhubung pemilikan motosikal terbabit,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua motosikal itu kemudian dirampas untuk tindakan lanjut termasuk semakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pemeriksaan teknikal berkaitan nombor enjin serta casis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 22A Ordinan Kesalahan Kecil Negeri Sabah.

“Polis akan terus mempergiat operasi bagi mengesan kegiatan penggunaan motosikal curi, ‘clone’ serta pengubahsuaian nombor casis dan enjin di daerah ini,” katanya. – Info X