TAWAU: Hanya kerana ditegur membuat bising, seorang lelaki dipercayai naik angin sebelum mengugut jirannya menggunakan topi keledar dalam kejadian di Taman Ria 6, Jalan Utara, di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian itu, mangsa lelaki berusia 41 tahun dikatakan menegur suspek yang membuat bising di kawasan kejiranan sebelum berlaku pertengkaran mulut antara mereka.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, suspek dipercayai tidak berpuas hati selepas mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit.
“Suspek kemudian dipercayai mengeluarkan kata-kata ugutan untuk mencederakan mangsa menggunakan topi keledar.
Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau menahan lelaki tempatan berusia 44 tahun yang bekerja sebagai mekanik kira-kira jam 11 malam pada hari sama di kawasan Taman Ria 6,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, polis turut merampas sebuah topi keledar yang dipercayai digunakan ketika kejadian.
“Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan kes dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak bertindak mengikut emosi atau mengeluarkan ugutan yang boleh mengancam keselamatan orang lain kerana tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang. – Info X