Search

Remaja dicekup pecah rumah, larikan wang tunai RM3,630

May 24, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tindakan seorang remaja lelaki dipercayai memecah masuk sebuah rumah dan melarikan wang tunai lebih RM3,600 mengundang padah apabila dia berjaya diberkas polis, awal pagi tadi.

Suspek berusia 15 tahun yang juga seorang pelajar ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kira-kira jam 2.30 pagi di sebuah hotel di Jalan Haji Karim, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat dan risikan susulan laporan pecah rumah yang diterima pada 21 Mei lalu.

Katanya, mangsa bersama ahli keluarga menyedari kehilangan tiga dompet mengandungi wang tunai yang disimpan di dalam almari pakaian di bilik rumah mereka di Kampung Bergosong Besar.

“Siasatan awal mendapati almari berkenaan dipercayai sudah digeladah selain terdapat kesan umpilan pada lantai kayu di bahagian tandas dan dapur belakang rumah yang dipercayai menjadi laluan masuk suspek.

“Jumlah kerugian membabitkan wang tunai milik mangsa dan ibu bapanya dianggarkan RM3,630,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

Beliau berkata, polis kini giat mengesan semula barang kes selain menjalankan ujian saringan air kencing terhadap suspek bagi membantu siasatan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan supaya memastikan rumah sentiasa berkunci selain tidak menyimpan wang tunai dalam jumlah besar di kediaman bagi mengelakkan menjadi sasaran penjenayah,” katanya. – Info X