KOTA KINABALU: Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) baharu, Deputi Komisioner Victor Sanjos meletakkan tiga fokus utama dalam usaha menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Katanya, antara fokus termasuk pengaplikasian teknologi seperti dron dan kamera bagi memantau aktiviti di sepanjang perairan pantai timur Sabah.
“Latarbelakang saya ini jenayah siber, jadi dari segi penggunaan teknologi mungkin ada bahagian-bahagian tertentu yang memerlukan pengguna teknologi.
“Jadi yang ini saya akan bincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESSCOM dan juga pegawai untuk melihat apa teknologi yang kita boleh gunakan… mungkin daripada segi penggunaan dron dan penggunaan kamera,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Komander ESSCOM di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas daripada Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby yang menyerahkan tugas ESSCOM kepada Deputi Komisioner Victor.
Mohd Ali yang baharu menggantikan Deputi Komisioner Datuk Hamzah Ahmad pada 18 Mei lalu akan memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Kelantan.
Mengulas lanjut, Victor berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan penduduk di ESSZONE melalui program yang dirancang dalam masa terdekat bagi meningkatkan kecekapan keselamatan di kawasan ESSZONE selain mempertingkatkan risikan keselamatan.
“Yang ketika iaitu membabitkan komuniti ESSZONE. Biarlah mereka juga mempunyai tanggungjawab, bukan tanggungjawab untuk mencegah keselamatan ini di bawah ESSCOM, tetapi masyarakat yang berada di sekitar itu sama ada yang berada di darat atau tepi pantai atau mereka yang berada di pulau juga mempunyai tanggungjawab.
“Jadi kita akan gemblengkan tanggungjawab ini bersama-sama dengan CEO dengan program-program yang saya sebutkan tadi,” katanya.
Turut hadir pada majlis berkenaan iaitu Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali. – Info X