Search

Kanak-kanak lelaki parah diserang kumpulan anjing liar

June 8, 2023

Info X Reporters

PITAS: Tindakan pantas suami isteri berjaya menyelamatkan nyawa seorang kanak-kanak lelaki yang diserang sekumpulan anjing liar dalam kejadian di kawasan lapang, Jalan Mampakad Laut, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6.05 pagi itu, mangsa Muhamad Dhan Rezdey Ruddy, 4, mengalami banyak kesan gigitan dan cakaran daripada haiwan liar terbabit di seluruh anggota badannya.

Keadaan mangsa yang digigit oleh kumpulan anjing liar di Pitas.

Difahamkan, sebelum kejadian suam isteri yang melalui tempat kejadian menaiki motosikal menuju ke Dataran Bengkoka, melihat sekumpulan enam ke tujuh ekor anjing liar sedang menyalak, berkerumun serra sedang menggigit sesuatu.

Menurut sumber, wanita itu kemudian menghampiri dan melihat seorang kanak-kanak lelaki tertiarap tanpa pakaian dan berlumuran darah sedang digigit oleh kumpulan anjing liar berkenaan.

“Dia kemudian memanggil suaminya untuk menghalau anjing liar dan mengangkat mangsa untuk dihantar ke Hospital Pitas bagi rawatan lanjut.

“Anjing liar yang menyerang mangsa itu adalah haiwan liar yang sering berkeliaran di kawasan berkenaan dan di Dataran Bengkoka,” katanya.

Lokasi kejadian mangsa diserang kumpulan anjing liar.

Sumber berkata, ketika kejadian ibu mangsa keluar rumah untuk bekerja dengan berjalan kaki dan mangsa menyusul dari belakang tanpa pengetahuan ibu serta neneknya.

“Ibu mangsa meninggalkan anaknya (mangsa) di rumah di bawah jagaan neneknya. Jarak perjalanan rumah mangsa ke tempat kerja ibunya kira-kira 300 meter manakala jarak tempat kejadian dari rumahnya hampir 100 meter.

“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat banyak kesan gigitan dan cakaran anjing di seluruh anggota badan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superitendan Zairolnizal Ishak ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan mangsa berada dalam keadaan stabil dan kini masih dalam rawatan lanjut.

Katanya, mangsa telah dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS), Likas untuk rawatan lanjut. – Info X