Search

GUNAPAKAI KONSEP EVC, HAJIJI BERITAHU PEMAIN INDUSTRI PERKAYUAN

July 25, 2022

admin

SAPULUT: Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor menggesa semua pemain industri perkayuan di negeri ini untuk mentransformasikan industri berkenaan dengan menggunapakai konsep Rantaian Nilai Ekonomi (EVC).

Beliau berkata, langkah terbabit bakal mengintegrasikan kedua-dua sektor pengeluaran huluan dan hiliran.

“Pemprosesan huluan dan hiliran perhutanan adalah sektor yang selama ini
berdiri sendiri yang bermakna produk huluan tidak sepadan sepenuhnya
dengan permintaan hiliran.

“Dengan konsep EVC, barisan pengeluaran ini akan bersepadu dan bakal
meningkatkan produktiviti pada skala yang lebih besar,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika berucap sempena lawatan kerjan ke Jawala Plantation Industries Sdn Bhd dan Sapulut Forest Development Sdn Bhd di Hutan Simpan Sapulut, di sini, hari ini.

Hajiji menyatakan ia merupakan lawatan kerja pertamanya ke kawasan konsesi
SFMLA sejak beliau memegang jawatan itu bagi melihat kemajuan fizikal inisiatif
Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam sektor perhutanan iaitu Transformasi Ladang Hutan melalui Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan (2022-2036) yang dilancarkan pada 22 Mac lalu.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Setiausaha Kerajaan Negeri; Datuk Sr Safar Untong; Ketua Konservator Hutan, Datuk Frederick Kugan; Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah, Tan Sri David Chu; Pengerusi Jawala Plantation Industries Sdn Bhd, Tan Sri Majid Khan dan Pengarah Urusan Sapulut Forest Development Sdn Bhd, Norman Wong.

Sementara itu, Hajiji memaklumkan
melalui Pelan Tindakan berkenaan, kerajaan negeri menyasarkan untuk membangunkan
400,000 hektar ladang hutan dalam kawasan Hutan Simpan Komersial menjelang 2036.

Menurut beliau, strategi pembangunan ladang hutan adalah untuk mengurangkan kebergantungan sektor industri perkayuan hiliran daripada sumber bekalan bahan mentah keluaran hutan asli selain dalam masa sama mahu mengekalkan daya saing sektor ini pada masa hadapan.

Beliau berkata, antara enam hingga lapan juta meter padu bekalan balak dijangka
melalui penuaian 40,000 hektar ladang hutan setiap tahun.

“Ini akan memastikan bekalan bahan mentah yang mencukupi dan mampan kepada industri perkayuan dan berpotensi menyumbang kira-kira RM11.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah.

“Selain itu, kita juga mampu menyediakan 40,000 pekerjaan dan mengembangkan lagi sektor pemprosesan kayu,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji menyatakan statistik Jabatan Perhutanan Sabah menunjukkan bahawa sejumlah 165,198 hektar ladang hutan sudah dibangunkan oleh pemegang konsesi Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) di Hutan Simpan Komersial.

Beliau berkata, hal ini menunjukkan kemajuan 41.3 peratus daripada sasaran 400,000 hektar di bawah Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan.

“Jawala Plantation Industries Sdn Bhd, telah berjaya membangunkan kira-kira 2,237 hektar atau 21.7 peratus daripada 10,294 hektar yang dizonkan sebagai ladang hutan sejak 2018 manakala Sapulut Forest Development Sdn Bhd telah membangunkan 20,969 hektar atau 95 peratus daripada 21,970 hektar sejak 2007.

“Kedua-dua Ladang Jawala dan Pembangunan Hutan Sapulut atas kemajuan yang baik dan berharap syarikat konsesi SFMLA lain yang diamanahkan
untuk membangunkan ladang hutan di Sabah akan mencontohi kejayaan mereka.

“Saya percaya program pembangunan ladang hutan mampu melonjakkan tahap sosioekonomi masyarakat setempat melalui ketersediaan peluang pekerjaan dan kemudahan yang lebih baik untuk semua pekerja,” katanya. – Info X