Search

Guru tidak masuk kelas 7 bulan, 3 bekas murid dapat ganti rugi RM90,000

July 19, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiga bekas murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, Kota Belud, semalam, dianugerahkan ganti rugi berjumlah RM90,000 selepas menang kes saman terhadap guru yang tidak hadir mengajar selama tujuh bulan.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menganugerahkan ganti rugi kepada pelajar terbabit yang memfailkan saman terhadap guru mereka Mohd Jainal Jamran kerana gagal mengajar mereka dalam kelas bahasa Inggeris antara Mac hingga November 2017.

Rusiah Sabdarin berkata keputusan mahkamah yang menganugerahkan ganti rugi RM90,000 kepadanya dan dua plaintif lain perlu perlu dijadikan sebagai pengajaran supaya perkara sama tidak berulang pada masa akan datang.

Katanya, keputusan itu juga perlu diambil serius oleh pihak sekolah dan jabatan pendidikan untuk memantau kehadiran guru.

Tegasnya, setiap aduan pelajar juga tidak harus dibiarkan sebaliknya perlu ada tindakan susulan.

“Harapan saya juga pelajar-pelajar mesti berani bersuara dan mengetahui haknya,” katanya dalam kenyataan dikongsi kepada media oleh NGO Tiada.Guru yang membantu menguruskan saman terbabit.

Turut dinamakan sebagai defendan, pengetua SMK Taun Gusi ketika itu Suid Hanapi, ketua pengarah pendidikan, menteri pendidikan dan kerajaan.

Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim dalam membuat keputusan itu berkata ketiga-tiga plaintif berjaya membuktikan kes mereka terhadap defenden.

Plaintif kedua Calvina Angayung berkata dia berpuas hati dengan keputusan itu selepas hampir enam tahun berjuang untuk mendapatkan keadilan.

Tambahnya, sikap tidak bertanggungjawab guru terbabit menyebabkan dia serta rakannya gagal dalam peperiksaan Bahasa Inggeris.

“Masih segar diingatan kejadian kes guru ponteng kelas ini, kami mangsa ketidakadilan guru ini,” katanya mengucapkan terima kasih kepada peguam, NGO, keluarga dan media yang menyokong mereka.

Plaintif ketiga Nur Natasha Allisya Hamali turut melahirkan kesyukuran dengan keputusan itu yang menaikkan semangatnya untuk menempuh cabaran masa depan. – Info X