KOTA KINABALU: Mahkamah Rayuan menetapkan 12 November depan untuk sebutan pengurusan kes rayuan Kerajaan Persekutuan berkaitan kelayakan hak 40 peratus Sabah dan menetapkan tarikh keputusan rayuan selepas prosiding pendengaran kes hari ini.
Pada prosiding hari ini, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) tampil di hadapan Mahkamah Rayuan bagi menentang rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap sebahagian daripada keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kelayakan 40 peratus Sabah pada 17 Oktober 2025.
Menerusi satu kenyataan, Presiden SLS, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, berkata pada prosiding hari ini, Mahkamah Rayuan mendengar hujahan dari semua pihak, namun belum membuat sebarang keputusan.
Katanya, SLS kekal teguh dalam mempertahankan keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober tahun lalu dan pelepasan yang diberikan bagi menyelesaikan isu pembayaran bagi ‘tahun yang hilang’ iaitu tempoh antara 1974 hingga 2021.
Kerajaan Persekutuan, katanya menyatakan dalam Notis Rayuan bahawa ia tidak merayu terhadap formula 40 peratus atau keperluan untuk menyemak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
“Bagaimanapun, rayuannya mencabar penemuan substantif dan perintah Mahkamah Tinggi berkaitan tahun yang hilang, proses semakan, relief berbangkit dan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
“Ini adalah isu yang perlu ditentukan oleh Mahkamah Rayuan,” katanya.
Katanya, pendirian SLS adalah jelas, iaitu peruntukan perlembagaan yang mentadbir hak Sabah mempunyai tugas yang mesti dipenuhi.
“Kami kekal bahawa tahun yang hilang mesti diselesaikan menerusi proses yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, disokong kaedah yang berkesan bagi pelanggaran yang dikesan oleh Mahkamah Tinggi.
“Prosiding ini menyentuh mengenai perlindungan perlembagaan yang membawa kesan berpanjangan bagi Sabah dan rakyatnya.
“SLS akan terus mengendalikan kes ini dengan persiapan, kebebasan dan tekad yang sewajarnya berdasarkan kepentingannya. Kami memulakan prosiding ini dwmi kepentingan awam, memperoleh remwdi di Mahkamah Tinggi dan kini mempertahankan keputusan itu di peringkat rayuan.
“Ini adalah komitmen institusi yang berterusan oleh SLS untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang, tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.
Pada prosiding rayuan itu, SLS diwakili peguam David Fung Yin Kee, Jeyan TM Marimuttu, Janice Junie Lim, Grace Liew Yung Enn dan Vanessa Maria Marimuttu.
Mohamed Nazim berkata, SLS menghormati peranan mahkamah dalam menentukan rayuan itu dan menegaskan SLS kekal teguh dengan tekadnya bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dilaksanakan secara praktikal. – Info X