Hakisan tebing sungai punca menara tumbang – Sabah Electricity

November 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Hakisan tebing Sungai Liwagu di Ranau dikenal pasti punca menara penghantaran elektrik ke pantai timur Sabah tumbang awal pagi tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata arus deras Sungai Liwagu berikutan hujan berterusan di kawasan itu menyebabkan menara bertanda T313 itu tumbang.

Katanya, hakisan tebing sungai itu sudah dikesan sejak Januari lalu sebelum kerja pengukuhan tebing dilaksanakan pada Mac menggunakan guni pasir dan susunan batu besar.

“Bagaimanapun, arus deras Sungai Liwagu akibat hujan berterusan di Ranau sejak beberapa hari lalu menyebabkan tebing baharu yang sudah dibuat itu hanyut dan akhirnya menara juga tumbang,” katanya pada sidang media, di sini, haru ini.

Insiden itu katanya menyebabkan kawasan pantai timur Sabah kehilangan 295 MW tenaga yang disalurkan dari pantai barat Sabah.

Gambar menunjukkan keadaan menara T313 sebelum tumbang.

Katanya, pemeriksaan juga dibuat di beberapa menara berhampiran bagi mengenal pasti tahap keselamatan menara terbabit, namun didapati tiada kesan membahayakan.

Pemulihan grid, katanya dimulakan dengan talian satu yang dijangka disambung semula pada 1 Disember, disusuli talian dua pada 2 Disember sebelum sistem grid Sabah disambung semula sepenuhnya dalam tempoh enam hari.

Katanya, perkembangan semasa pemulihan bekalan dan grid tenaga akan dimaklumkan kepada pengguna dari semasa ke semasa melalui media rasmi Sabah Electricity. – Info X