98 pemimpin sekolah kongsi amalan terbaik depani cabaran pendidikan Sabah

November 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kekangan kemudahan fizikal dan capaian internet bukan penghalang kepada pemimpin sekolah di Sabah untuk terus berusaha meningkatkan mutu pendidikan serta mencapai kecemerlangan.

Usaha itu diterjemahkan menerusi perkongsian amalan terbaik oleh 98 pemimpin sekolah daripada 17 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sempena Kolokium Amalan Terbaik Pemimpin Sekolah Terintang Negeri Sabah Tahun 2026.

Pengarah Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah, Dr Zainuddin Sabu berkata, keterbatasan sumber tidak seharusnya menjadi penghalang dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama kepada anak-anak di negeri ini.

“Pendidikan di Sabah memerlukan pemimpin yang berjiwa murni, berpandangan strategik dan berkeupayaan melakukan penambahbaikan.

“Pemimpin Sekolah Terintang juga perlu mengintegrasikan kearifan tempatan dengan kompetensi digital agar kekal berdaya saing, serta bijak mengoptimumkan sumber secara kreatif meskipun berdepan kekangan kemudahan fizikal dan akses internet,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan kolokium berkenaan di Hotel Ming Garden, di sini, hari ini.

Program bertemakan ‘Sekolah Terintang: Melangkaui Keterbatasan, Mencipta Kecemerlangan’ itu menghimpunkan 300 peserta, selain menampilkan pameran daripada 28 sekolah kebangsaan.

Dr Zainuddin berkata, amalan terbaik yang dikongsikan 98 pemimpin sekolah berkenaan diharap dapat diperluaskan ke sekolah lain di seluruh Sabah, sekali gus membantu merapatkan jurang akses pendidikan.

Katanya, pembabitan IKRAR dalam penganjuran program itu turut mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan dengan rakyat, selaras dengan teras pembangunan modal insan dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

Kolokium itu anjuran bersama IKRAR dan Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sabah dengan kerjasama strategik Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent serta IPG Kampus Gaya.

Turut hadir Pengarah IAB Cawangan Sabah, Dr Abdul Ghani Sani dan Ketua Nazir Negeri Sabah, Ibnu Jaani. – Info X