Warisan Bisaya jangan hilang ditelan zaman

November 26, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Warisan budaya, bahasa dan adat resam masyarakat Bisaya perlu terus dipertahankan serta diwariskan kepada generasi muda supaya tidak hilang ditelan arus pemodenan.

Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Haji Mazlan @ Joehari Haji Manan berkata, usaha mempertahankan warisan bangsa bukan sekadar tanggungjawab persatuan atau kerajaan, sebaliknya perlu menjadi komitmen setiap keluarga dan anggota masyarakat.

Katanya, Sambutan Adau Janang Gayuh bukan sekadar perayaan, tetapi lambang kesyukuran, kebanggaan dan kecintaan masyarakat Bisaya terhadap warisan serta identiti bangsa.

“Bangsa yang maju bukanlah bangsa yang melupakan asal usulnya, tetapi bangsa yang mampu melangkah ke hadapan tanpa meninggalkan akar budayanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Sukan Rakyat dan Sukan Air sempena Sambutan Adau Janang Gayuh Persatuan Bisaya Bersatu Sabah (PBBS) di Dataran Bagandang, Pekan Beaufort, hari ini.

Mazlan berkata, penglibatan golongan muda dalam permainan tradisional dan program kebudayaan penting bagi mendekatkan mereka dengan warisan bangsa, selain menggalakkan gaya hidup sihat serta menjauhi gejala sosial dan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turut memberi perhatian terhadap usaha memartabatkan warisan budaya pelbagai etnik di Sabah.

Katanya, kepelbagaian etnik dan budaya adalah kekuatan serta keistimewaan Sabah yang perlu dipertahankan, selain berpotensi menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara.

“Kita mahu masyarakat Bisaya maju dalam pendidikan, berjaya dalam ekonomi, cemerlang dalam kepimpinan, tetapi tetap teguh dengan akar budaya dan identiti bangsanya.

“Kita mahu Sabah maju tanpa kehilangan identiti, membangun tanpa melupakan warisan dan bersatu tanpa menghapuskan kepelbagaian,” katanya.

Turut hadir, Presiden PBBS merangkap Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Janang Gayuh Haji Ruslan Muharam serta barisan kepimpinan PBBS. – Info X