KOTA KINABALU: Peguam Hamid Ismail hari ini menerima surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan sebagai Pesuruhjaya Kehakiman yang baharu.
Beliau bersama dua lagi pengamal undang-undang secara rasmi dilantik memegang jawatan itu pada Majlis Penyampaian Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Pesuruhjaya Kehakiman di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, di sini.
Dua lagi yang turut dilantik ialah Pengarah Mahkamah Negeri Sarawak dan Hakim Mahkamah Sesyen Kuching, Steve Ritikos dan peguam Ratanah Devi Yusof Perumal.
Hamid, 49, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berpengalaman sebagai peguam bela dan peguam cara selama 24 tahun sejak 2001.
Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang peguam pada 3 September 2001 melalui syarikat guaman Tetuan Roland Cheng & Co sebelum berpindah ke beberapa syarikat guaman lain sehingga 2 Julai 2004.
Pada 5 Julai 2004, Hamid mengorak langkah dengan menubuhkan syarikat guamannya sendiri, Tetuan Hamid & Co yang beroperasi hingga ke hari ini.
Sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, Hamid sempat mengetui peguam mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir pada Ogos lalu bagi meminta Jabatan Peguam Negara (AGC) melaksanakan beberapa perkara berkaitan kematian arwah.
Beliau bersama Shahlan Jufri antara lain meminta siasatan semula kes dijalankan yang menyaksikan polis dari Bukit Aman mengambil alih siasatan, meminta post mortem ke atas jenazah arwah Zara dilaksanakan dengan menggali semula kuburnya dan meminta inkues bagi mencari punca kematian arwah dilaksanakan.
Semua permintaan itu dilaksanakan, termasuk inkues di Mahkamah Koroner yang sedang berjalan dan sudah memasuki hari ke-17 pada hari ini.
Sepanjang kerjayanya sebagai peguam, Hamid juga pernah mengendalikan pelbagai kes penting, antaranya mewakili Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kes saman dibuat peguam Marcel Jude di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Ogos 2016.
Beliau juga mengetuai peguam mewakili Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada 2023, yang ketika itu sebagai Setiausaha Agung BERSATU dalam kes saman berkaitan penggantungan keahlian parti dibuat Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.
Hamid juga mengetuai pasukan peguam mewakili Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menentang permohonan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes rasuah membabitkan Ahli Parlimen Semporna itu di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pada 20 Oktober 2017. – Info X