Search

Inkues kematian Zara: Arwah didakwa pernah bertanya mengenai terjun dari tingkat 3

September 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu Allahyarham Zara Qairina Mahathir pernah bertanya kepada saksi mengenai terjun dari tingkat tiga.

Peguam Datuk Ram Singh, berkata saksi kelapan kanak-kanak itu juga bertanya kepada arwah Zara kenapa dia bercakap begitu kerana merasakan ia sesuatu yang tidak baik.

“Zara pernah berkata kepada saksi ‘bagaimana kalau saya terjun dari tingkat 3? Kau sedih kah’. Lepas itu saksi jawab ‘kenapa kamu cakap begitu? Tidak bagus’. Kemudian Zara diam.

“Saksi berkata pada masa itu hanya mereka berdua berada di hadapan biliknya dan saksi berkata Zara melihat ke bawah dari koridor asrama dengan keadaan murung. Kejadian itu berlaku sekitar April 2025,” katanya kepada media selepas selesai prosiding, hari ini.

Ram berkata, saksi berkenaan tidak pasti sama ada Zara mempunyai konflik dengan pelajar lain di sekolah mereka dan dia mengaku tidak pernah mempunyai konflik dengan arwah.

Katanya, saksi juga tidak pernah nampak Zara dimarahi atau diganggu oleh pelajar lain, selain tidak pernah nampak sesiapa pelajar meraba atau melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap Zara di bilik asrama atau sekolah.

Sementara itu, katanya saksi ke-16 inkues itu mengetahui arwah Zara Qairina ada menulis diari ketika di sekolah dan sentiasa menulis diari di dalam bilik asrama pada waktu petang dan malam.

“Tapi, saksi tidak tahu berapa buku diari yang Zara ada dan saksi tidak pasti sama ada Zara menulis diari setiap hari. Saksi tidak pernah membaca diari Zara tersebut,” katanya.

Terdahulu, Ram berkata, saksi berkenaan mengenali arwah Zara kerana tinggal di bilik yang sama tetapi hanya kawan biasa, selain turut menceritakan perilaku arwah ketika di bilik asrama yang sentiasa tidur di atas karpetnya di atas lantai bilik kerana malas memasang cadar tilam.

“Saksi juga menceritakan pada malam 15 Julai lalu, semasa saksi berada di bilik asrama, saksi mendengar ada orang panggil Zara datang ke bilik sebelah.

“Selepas itu saksi nampak Zara pergi ke bilik sebelah dan saksi dimaklum oleh rakan sebilik bahawa Zara dipanggil untuk berjumpa senior pasal kehilangan barang di ‘dorm’.

“Selepas Zara kembali ke ‘dorm’ mereka, katanya dia terus baring di lantai dan menangis. Zara juga ada teriak sambil bercakap ‘aku nda curi bah, sial’.

“Saksi tidak tahu bagaimana kejadian Zara berjumpa dengan senior kerana saksi tidak pergi ke bilik sebelah,” katanya.

Ram berkata, saksi berkenaan menjelaskan sebelum itu pelajar senior tidak pernah berjumpa dengan arwah Zara dan setahu saksi, hanya sekali pada malam 15 Julai itu saja.

“Saksi berkata, selepas Zara berjumpa dengan senior di bilik sebelah, Zara nampak seperti dalam terganggu, Zara baring di lantai sambil menangis di depan almari. Zara tidak pernah menjerit dan menangis sebelum ini. – Info X