KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu ada pelajar tidak menyukai Allahyarham Zara Qairina Mahathir kerana arwah mencatat nama pelajar yang tidak solat berjemaah di musolla sekolah.
Peguam mewakili ibu arwah, Rizwandean M Borhan, berkata saksi ketujuh kanak-kanak itu mengenali arwah sebagai seorang pelajar yang ceria, suka bercakap dan menegur pelajar lain secara baik.
Katanya, saksi juga menyatakan kadang-kadang bercakap dan bertegur apabila berjumpa dengan Zara dan mengetahui Zara bercita-cita menjadi Badar atau Pengawas Surau.
“Namun saksi berkata ada juga pelajar yang macam tidak suka dengan perwatakan Zara. Kebanyakan pelajar lain yang tidak suka dengan Zara kerana Zara ini mencatat nama pelajar yang tidak solat jemaah di musolla,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas selesai prosiding inkues kematian arwah Zara Qairina, hari ini.

Rizwandean berkata saksi juga mengatakan bahawa Zara menganggap seorang pelajar senior seperti kakaknya sendiri dan memberitahunya bahawa pelajar terbabit adalah senior kegemarannya.
Katanya, saksi juga bercerita mengenai apa yang berlaku pada malam 15 Julai lalu apabila menyedari arwah Zara mengetuk pintu bilik asramanya pada kira-kira jam 10.20 malam.
“Zara ketuk pintu ‘dorm’ saksi ini, bagi salam dan meminta izin untuk masuk ke ‘dorm’ tersebut. Pada mulanya Zara berjumpa dengan seorang pelajar di ‘dorm’ itu.
“Perjumpaan itu mengenai kes kecurian barang seorang pelajar ‘dorm’ tersebut. Saksi ini mengatakan pada masa perjumpaan itu, Zara berada dalam keadaan takut.
“Kemudian ada empat orang pelajar masuk ke dalam ‘dorm’ tersebut dan terus ke tempat Zara yang sedang duduk bersila di lantai.
“Seorang daripada empat pelajar tersebut jelas memarahi Zara kuat-kuat sambil berteriak kepada Zara dan menggunakan kata-kata kesat ‘sial’ dan ada juga pelajar lain tegur Zara,” katanya.
Katanya, saksi berkenaan mengatakan keadaan pelajar yang memarahi Zara pada masa itu adalah garang dan ahli ‘dorm’ yang ada pada masa itu tidak berani untuk menenangkan Zara ketika arwah menangis.
Saksi berkenaan katanya menjelaskan, ketika Zara di ‘dorm’ berkenaan, ada beberapa pelajar di bilik arwah memeriksa almarinya dan menjumpai pin bendera milik pelajar lain dalam beg arwah yang menjadi punca pelajar terbabit marah.
Sementara itu, Rizwandean bersama rakan guamannya, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mengucapkan tahniah atas pelantikan bekas rakan sepasukan dalam kes itu, Hamid Ismail yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman, hari ini.
“Kami merakamkan penghargaan atas usaha, masa dan bimbingan beliau sejak awal perjalanan kes ini, termasuk memastikan post mortem dilakukan dan siasatan dijalankan secara menyeluruh sehingga membawa kepada prosiding inkues ini.
“Puan Noraidah Lamat dan kami sepasukan amat menghargai usaha dan mendoakan yang terbaik untuk beliau dalam melaksanakan tanggungjawab baharu. Mahkamah Inkues akan bersidang semula pada 7 Oktober 2025 pada setiap hari sehingga habis prosiding,” katanya. – Info X