SEMPORNA: “Hanya gurauan dan salah faham, bukannya kes culik,” kata Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah.
Beliau berkata demikian susulan tular di media sosial Facebook menyatakan berlaku kejadian culik membabitkan pelajar sekolah di Jalan Kampung Tanjung Kapur, di sini, petang tadi.
Mohd Farhan berkata, pihaknya terkesan dengan kenyataan kejadian culik itu yang turut memaparkan kenderaan dan pemandu terbabit.
Katanya, siasatan polis yang dijalankan mendapati kenyataan berkenaan adalah tidak tepat.
“Kejadian yang berlaku adalah berpunca dari salah faham membabitkan dua pelajar lelaki sekolah menengah berusia 17 tahun menumpang sebuah kereta sewa jenis Perodua Myvi dari sekolah untuk pulang ke rumah masing-masing.
“Selepas pemandu kereta menurunkan salah seorang pelajar di tepi jalan di Jalan Kampung Tanjung Kapur, jam 3.40 petang, pelajar terbabit bergurau dengan rakannya yang masih berada di dalam kereta supaya berhati-hati.
“Pemandu kereta turut mengeluarkan kata-kata gurauan akan menculik rakan pelajar terbabit sambil meneruskan perjalanan,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.
Menurutnya, kemungkinan rasa takut dan panik, pelajar berkenaan membuka pintu dan terjun dari kereta.
“Pemandu terbabit kemudian bergerak untuk membantu pelajar berkenaan dan ketika kejadian terdapat orang awam yang membantu membawa pelajar itu menaiki kenderaannya untuk dihantar ke hospital.
“Pelajar terbabit mengalami kecederaan ringan di lengan, kaki dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital,” katanya.
Katanya lagi, pemandu kereta terbabit telah tampil ke balai polis untuk membuat laporan berkenaan kejadian itu.
“Kedua-dua pihak serta saksi telah dipanggil memberi keterangan dan kejadian berpunca daripada gurauan dan salah faham.
“Orang ramai diingatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan rasa panik dan kegusaran awam,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Farhan berkata, sebarang kenyataan hendaklah merujuk kepada sumber yang sah dan sahih bagi mengelakkan kekeliruan di kalanhan masyarakat. – Info X