TAWAU: Seorang wanita melecur dalam kebakaran membabitkan lapan buah rumah di Kampung Hidayat Batu 4 Jalan Apas, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 31 tahun itu dilaporkan melecur di bahagian kaki dan muka selepas berusaha menyelamatkan diri dalam insiden berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.50 pagi.
Katanya, seramai 20 anggota dan pegawai bersama empat buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam.

“Operasi turut dibantu oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, (APM) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
“Pasukan bomba mendapati kira-kira lapan buah rumah dan lima buah kenderaan termasuk dua motosikal sudah musnah terbakar dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, terdapat seorang wanita mengalami kecederaan melecur di bahagian kaki dan muka telah dihantar ke hospital menggunakan ambulan untuk mendapatkan rawatan.
“Pasukan bomba menghadapi kesukaran menjalankan operasi disebabkan rumah dibina terlalu rapat dan tiada laluan jentera bomba.
“Kepantasan pasukan operasi berjaya menyelamatkan sebanyak 15 buah rumah dan sebuah Rumah Anak Yatim di lokasi kejadian,” katanya.

Jemishin berkata, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain dan operasi ditamatkan pada jam 7.24 pagi.
“Siasatan akan dijalankan bagi mengetahui punca dan jumlah kerugian yang dialami semua mangsa terbabit,” katanya. – Info X