Search

Hilang dua hari, warga emas ditemui lemah dalam semak

November 5, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Selepas dua hari menghilangkan diri, seorang warga emas akhirnya ditemui dalam keadaan lemah di kawasan semak kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat di Kampung Pulutan Membawang, Menggatal, hari ini.

Lelaki berusia 67 tahun itu ditemui pasukan bomba selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan sejak petang semalam.

Mangsa kali terakhir dilihat dalam keadaan kebingungan di tepi jalan kampung kira-kira jam 4.30 petang, Selasa lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kehilangan mangsa pada jam 6.29 petang semalam.

Katanya, operasi pencarian dimulakan di kawasan tanah perkuburan, kandang ayam dan kebun pisang berhampiran sebelum ditangguhkan pada malam berkenaan.

“Pencarian disambung pagi tadi dengan membahagikan anggota kepada tiga kumpulan membabitkan pasukan bomba, Unit Anjing Pengesan (K9) dan penduduk kampung.

“Pasukan bomba akhirnya berjaya menemui mangsa di kawasan semak kira-kira 1.2 kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat.

“Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan ringan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Sherriyana berkata, mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk rawatan lanjut.

Katanya, operasi membabitkan 19 anggota bomba dengan bantuan polis dan penduduk kampung itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.30 petang. – Info X