KOTA KINABALU: Himpunan Solidariti Justice For Zara Qairina 2.0 yang berlangsung di parkir Kompleks Sukan Likas, di sini, malam tadi mencipta suasana luar biasa apabila ribuan peserta membanjiri kawasan itu seawal petang lagi, dua jam sebelum acara bermula.
Keadaan di sekitar Likas menjadi sesak apabila jalan utama menuju stadium dipenuhi kenderaan dan orang ramai yang hadir dari pelbagai lapisan masyarakat.
Dari pintu masuk hingga ke ruang utama, parkir Kompleks Sukan Likas dipenuhi lautan manusia yang membawa sepanduk, poster dan melaungkan tuntutan keadilan buat Zara Qairina.
Malah, lebih 30 kenderaan pacuan empat roda dari Triton Rally Community (TRAC) Masjid Bandaraya dan 40 motosikal berkuasa tinggi dari PPNS turut berkonvoi ke tapak himpunan, menambahkan lagi suasana gamat dan bersemangat.
Sorakan, nyanyian serta laungan solidariti bergema di udara, menggambarkan gelombang kebangkitan rakyat yang bersatu hati menzahirkan sokongan padu dalam perjuangan ini.
Suasana penuh emosi itu sekali lagi membuktikan bahawa solidariti rakyat Sabah tetap utuh, meskipun dalam keadaan penuh sesak dan padat. – Info X