Search

Tiga pasangan dicekup berkhalwat malam merdeka

August 31, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Tiga pasangan kekasih ditangkap khalwat apabila ditemui berdua-duaan dalam bilik hotel dalam serbuan Ops Bersepadu di daerah ini, tengah malam tadi.

Malah salah satu pasangan yang ditahan turut didapati berstatus suami yang ditahan bersama kekasihnya yang juga seorang janda.

Serbuan selama empat jam yang bermula jam 9 malam itu dijalankan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Ustaz Mardi Ariffin berkata, operasi bersepadu melibatkan pemeriksaan terhadap 10 hotel di sekitar bandar Lahad Datu.

Katanya, sebanyak 60 bilik berjaya diperiksa dan membawa kepada penahanan ketiga-tiga pasangan terbabit.

“Pasukan operasi turut merampas beberapa barangan antaranya kondom, tisu magik dan cecair pelincir.

“Kami mengingatkan umat Islam supaya menjauhi zina dan tidak melakukan kesalahan jenayah syariah,” katanya.

Difahamkan, semua pasangan yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 84 (Khalwat) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah No 3/1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pesalah wanita, mereka juga berdepan kemungkinan ditempatkan di rumah kebajikan sehingga tiga tahun. – Info X