TAWAU: Wanita berusia 23 tahun yang sebelum ini disyaki mengeluarkan ucapan berbaur hasutan ketika menghadiri Himpunan Solidariti ‘Justice For Zara’ di daerah ini, Ahad lalu, kini ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi di kawasan Batu 4, Jalan Apas, selepas dikenal pasti hasil siasatan lanjut.
“Suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Penahanan boleh dibuat walaupun tanpa waran. Buat masa ini, polis sedang merakam percakapan suspek dan siasatan lanjut diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan berhubung laporan yang mendakwa wanita itu mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT), Tun Musa Aman, ketika berucap pada himpunan berkenaan.
Jasmin berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung insiden itu sebelum tindakan lanjut diambil.
Beliau turut menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan kegusaran masyarakat melalui ucapan, khususnya di tempat terbuka.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti pihak tertentu,” katanya. – Info X