KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi, di sini, pada Selasa mengetepikan keputusan Koroner sebelum ini berhubung kebenaran yang diberi kepada peguam mewakili pesalah kanak-kanak untuk menjadi pihak berkepentingan dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendengar hujah daripada pihak yang terbabit berhubung permohonan semakan semula yang difailkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan peguam mewakili keluarga arwah Zara.
Semakan semula itu berkaitan keputusan Koroner Azreena Aziz sebelum ini yang membenarkan peguam mewakili pesalah kanak-kanak menjadi pihak berkepentingan pada pendengaran permohonan peguam di Mahkamah Koroner, 28 Ogos lalu.
Duncan berkata, apa saja perintah yang dibuat berhubung dengan permohonan dalam inkues itu sebelum ini diketepikan, namun pihak yang terbabit boleh mengemukakan semula permohonan di hadapan Koroner baharu.
Katanya, Koroner sebelum ini memasukkan peguam mewakili pesalah kanak-kanak sebagai pihak berkepentingan dan membenarkan mereka menyertai prosiding inkues, namun Koroner kemudian menarik diri daripada inkues berkenaan.
Berikutan itu, Duncan berkata adalah tidak betul untuk Koroner sebelum ini memutuskan isu substantif yang sepatutnya diserahkan untuk pertimbangan Koroner baharu, seolah-olah ia dibuat bagi pihaknya.
Selain itu, Mahkamah Tinggi tidak membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) terhadap SLS berhubung permohonan semakan semula itu.
Pihak DPP yang diketuai Pengarah Pendakwa Raya Negeri, Nahra Dollah membangkitkan bantahan awal itu dengan alasan SLS sebagai pihak pemerhati dalam inkues tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan keputusan Koroner membenarkan peguam pesalah kanak-kanak dimasukkan sebagai pihak berkepentingan.
SLS dan peguam mewakili keluarga arwah Zara memfailkan permohonan semakan secara berasingan mengikut Seksyen 323 Kanun Acara Jenayah.
Barisan peguam SLS terdiri daripada presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin, Jamadi Saleh, Dominic Ghani dan Nabila Norsahar.
Peguam Shahlan Jufri bersama Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser pula mewkili keluarga arwah Zara.
Sementara itu, Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang daripada lima pesalah kanak-kanak yang berdepan pertuduhan buli dalam kes kematian arwah Zara.
Empat lagi pesalah kanak-kanak diwakili peguam Azhier Farhan Arisin bersama Abdul Fikry Jaafar Abdullah.
Pada 28 Ogos lalu, Koroner Azreena Aziz memaklumkan inkues diteruskan seperti dijadualkan tetapi ia akan didengar di hadapan Koroner lain iaitu Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan.
Prosiding inkues dijadual bermula esok dan Khamis ini, sebelum disambung pada 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September. – Info X