Search

Penunggang motosikal maut kemalangan di Tuaran

September 2, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditungganginya merempuh sebuah kenderaan yang masuk simpang di Jalan Marabahai Tambalang 2, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, mangsa, Yerricho O’Veall Paumin, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala dan patah tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, siasatan awal mendapati mangsa menunggang seorang diri motosikal jenis SYM dari arah Marabahai Spur di jalan lurus.

“Sebaik tiba di simpang berkenaan, motosikal mangsa melanggar bahagian kiri depan kenderaan jenis Toyota Fortuner yang sedang memasuki simpang dari arah Kampung Tambalang 3, menuju pekan Tuaran.

“Impak kuat itu menyebabkan mangsa tercampak ke bahu jalan bersama motosikalnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang lengkap memakai topi keledar disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh doktor dari Hospital Tuaran.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuaran untuk bedah siasat.

“Manakala pemandu Toyota Fortuner seorang lelaki pesara berusia 67 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.

Sementara itu, Noraidin turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu atau menunggang di kawasan simpang terutama pada waktu puncak, selain sentiasa mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain. – Info X