KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda UPKO meminta semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan Peguam Negara terhadap kebenaran diberikan Mahkamah Tinggi kepada Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung pemberian khas 40 peratus.
Ketuanya, Felix Joseph Saang berkata, keputusan itu sememangnya amat disambut baik dan membuktikan hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak wajar dipertikaikan.
Katanya, selain menghormati keputusan berkenaan, semua pihak juga seharusnya bekerjasama untuk mencari penyelesaian terbaik kepada isu perlembagaan itu.
“Pemuda UPKO berharap agar tuntutan hak 40 peratus dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat direalisasikan.
“Kita juga berharap perbicaraan itu kelak dapat dijalankan dengan adil dan isu tuntutan ini boleh diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika ketika diminta mengulas keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan pada Selasa lalu.
Keputusan itu sekali gus memberi laluan kepada pihak SLS untuk meneruskan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi.
Semakan kehakiman itu berkenaan adalah usaha SLS untuk mendapatkan semula hak Sabah berhubung pemberian khas 40 peratus yang negeri ini berhak terima di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Felix berkata, Pemuda UPKO akan terus memainkan peranan dalam menyokong, mendesak dan menuntut agar MA63 dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya.
Katanya, tuntutan berkaitan hak-hak kepentingan Sabah dalam MA63 tidak berasaskan kepentingan politik semata-mata, sebaliknya perlu direalisasikan demi kesejahteraan wilayah Sabah.
“Komitmen dan kesungguhan UPKO tidak pernah terhenti dalam perkara ini untuk menuntut hak-hak dan kepentingan wilayah Sabah,” katanya. – Info X