Search

Remaja jumpa janin ditanam individu tidak dikenali dekat rumah sewa

June 20, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kecurigaan tiga remaja wanita dengan kelibat dua individu tidak dikenali di kawasan tanah lapang, Batu 5½, Jalan Tuaran, Inanam, di sini, terjawab apabila menemui bungkusan kain mengandungi janin yang ditanam di kawasan berkenaan, malam tadi.

Salah seorang daripada mereka mendakwa melihat kelibat lelaki dan wanita berhampiran kawasan tanah lapang dengan membawa beg dan penyodok tanah, kira-kira jam 8 malam, Selasa lalu.

Ketika itu, dia bersama dua rakannya berada di bilik sewa mereka di tingkat satu dan cuba untuk memeriksa namun ketika itu hujan.

Perasaan ingin tahu menyebabkan mereka memeriksa di kawasan tanah lapang berkenaan dan terlihat ada kesan korekan tanah.

Curiga dengan keadaan itu, mereka mengorek semula tanah bagi melihat apa yang ada di dalamnya.

Lalu terkejut apabila terdapat janin di dalam bungkusan berkenaan dan terus membuat laporan polis.

Pasukan polis menjalankan pemeriksaan di lokasi janin terbabit di tanam di kawasan tanah lapang, Batu 5½, Jalan Tuaran, Inanam, Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda ketika dihubungi mengesahkan mengenai penemuan janin terbabit.

Katanya, sepasukan polis termasuk Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah digerakkan ke lokasi kejadian untuk pemeriksaan lanjut.

“Janin kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran,” katanya. – Info X