KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah hari ini mengumumkan pelantikan bekas Menteri Belia dan Sukan Negeri, Brig Jen (B) Tan Sri Liew Yun Fah sebagai penasihat pertubuhan itu.
Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd Nazri Abdullah, berkata pelantikan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai itu diputuskan Ahli Jemaah Pengarah (AJP) PPN Sabah pada mesyuarat hari ini.
Beliau mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat AJP PPN Sabah di pejabat PPN Sabah di Kolombong, hari ini.
“Dengan pelantikan ini, beliau (Tan Sri Liew Yun Fah) yang turut terlibat dalam sektor pertanian dan industi makanan dapat membantu pembangunan peladang di negeri ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat AJP PPN Sabah.

Mohd Nazri berkata, PPN Sabah yakin dan percaya Yun Fah dapat memberikan sumbangan bakti yang berkesan dalam membantu masyarakat peladang di Sabah.
Yun Fah adalah Pengerusi Kumpulan DESA, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri yang terlibat dalam sektor pertanian, terutama sub sektor ternakan dan pengeluaran makanan.
Sementara itu, Mohd Nazri turut mengumumkan langkah PPN Sabah untuk menceburi perniagaan beras di Kota Kinabalu dan kawasan sekitarnya tidak lama lagi.
“Kita juga akan mengembangkan perniagaan-perniagaan tertentu yang melibatkan pengeluaran makanan untuk pasaran tempatan dan luar Sabah, terutama negara Brunei Darussalam dan Nusantara, Indonesia.
“Kita merancang untuk mencari peluang-peluang perniagaan yang berpotensi untuk diterokai supaya PPN Sabah dapat menjana lebih banyak pendapatan,” katanya. – Info X