Search

Hormati pengorbanan Alto Linus: Kritikan boleh, cercaan melampau tidak wajar

February 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketika kecaman terhadap ketua pengendali Sabah FC terus bergema di media sosial, ramai seolah-olah lupa bahawa Alto Linus bukanlah individu yang membina musim ini atau musim lalu dari awal sebagai perancang utama pasukan.

Hakikatnya, beliau berulang kali tampil sebagai ‘pemadam api’ iaitu mengambil alih pasukan dalam keadaan tidak stabil, bukan sekali, tetapi dua musim berturut-turut.

Musim lalu, Alto tampil menggantikan Datuk Ong Kim Swee selepas bekas ketua jurulatih itu meninggalkan pasukan dan ketika itu, beliau bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan tanggungjawab besar, tetapi juga berjaya membantu mengekalkan kedudukan Sabah FC dalam saingan liga pada tahap kompetitif yang baik sebelum jurulatih baharu diumumkan, di mana pasukan berada dalam kelompok atas carta liga musim 2024–25.

Musim ini, situasi hampir sama berulang, selepas pemergian ketua jurulatih terdahulu, Jean‑Paul de Marigny, Alto sekali lagi dipanggil untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengganti dan sekali lagi beliau menerima amanah itu dalam keadaan bukan ideal iaitu ketika pasukan masih mencari kestabilan dan berdepan pelbagai cabaran dalaman.

Persoalannya, adakah adil untuk terus meletakkan kesalahan sepenuhnya di bahu seorang jurulatih yang sekadar melaksanakan tanggungjawab dalam situasi peralihan?

Sumber dalaman pasukan mendedahkan bahawa Alto tidak pernah menolak cabaran walaupun sedar tekanan bakal menimpa.

“Beliau (Alto) tahu keadaan sukar, beliau tahu risiko, tetapi demi pasukan dan negeri, beliau tetap terima. Ini bukan kali pertama beliau ambil alih dalam keadaan genting,” kata sumber berkenaan.

Apa yang jarang diperkatakan ialah pengorbanan peribadi yang dilakukan di mana Alto bukan sahaja berdepan tekanan keputusan perlawanan, malah terpaksa mengurus cabaran dalaman termasuk kekangan bajet dan isu operasi yang memberi kesan kepada keseluruhan pasukan.

Dalam keadaan serba mencabar itu, beliau tetap memilih untuk berdiri di hadapan dan bukannya berundur.

Menurut sumber sama, rutin hariannya berubah sepenuhnya setiap kali beliau mengambil alih.

“Masa dengan keluarga sangat terhad, dari pagi sampai malam fikir pasukan… Tekanan bukan sedikit, tapi beliau tidak pernah salahkan pemain atau pihak lain secara terbuka,” katanya lagi.

Dalam dunia bola sepak profesional, mudah untuk menuding jari. Apabila keputusan tidak memihak, jurulatih menjadi sasaran pertama.

Namun dalam kes Alto, konteks perlu dilihat secara menyeluruh. Beliau bukan arkitek asal musim, sebaliknya individu yang dipanggil untuk memastikan struktur tidak runtuh ketika berlaku perubahan.

Dua musim berturut-turut menjadi pengganti bukan sesuatu yang mudah. Ia menuntut kekuatan mental, kesetiaan dan keberanian untuk menerima risiko reputasi, tidak semua jurulatih sanggup berada dalam posisi itu.

Kritikan adalah sebahagian daripada bola sepak. Namun menjadikan beliau kambing hitam tanpa mengambil kira hakikat bahawa beliau sekadar menjalankan amanah dalam situasi sukar adalah penilaian yang tidak seimbang.

Alto Linus mungkin tidak sempurna, tapi pengorbanannya termasuk dari segi masa, tenaga dan reputasi selain demi memastikan Sabah FC terus berdiri ketika melalui fasa tidak menentu, wajar diakui.

Dalam saat pasukan memerlukan kestabilan, mungkin yang lebih diperlukan bukanlah cercaan, tetapi kefahaman dan sokongan yang rasional. – Info X