KOTA KINABALU: PAS Sabah menyatakan keyakinan terhadap kepemimpinan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ke arah mengukuhkan semula gabungan itu.
Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata Menteri Besar Terengganu itu memiliki latar belakang kepemimpinan yang baik dan berpengalaman sebagai seorang teknokrat berwibawa.
Katanya, latar belakang itu menjadi asas penting untuk Naib Presiden PAS itu yang turut dikenali sebagai Dr Sam memacu PN ke arah yang lebih tersusun, progresif dan diyakini rakyat.
“Gabungan ilmu, integriti dan ketenangan beliau adalah aset besar dalam membina politik matang yang berteraskan prinsip dan solusi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sambil mengucapkan tahniah atas pelantikan Samsuri, Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, berkata PN memerlukan kepemimpinan baharu yang lebih menyeluruh dalam mendepani cabaran politik semasa.
Jelasnya, dalam suasana landskap politik yang mencabar, PN memerlukan kepimpinan yang bukan saja tegas dalam pendirian tetapi juga bijaksana dalam merencanakan masa depan.
Beliau berkata, perkara itu penting bagi menyatukan kekuatan, merapatkan ukhuwah dan memperkukuh muafakat demi kesejahteraan rakyat.
“Saya mendoakan agar PN terus mara dengan langkah yang tersusun, kukuh dalam prinsip, luas dalam kebersamaan dan teguh dalam perjuangan.
“Semoga Allah SWT memimpin setiap langkah dan keputusan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta,” katanya.
Aliakbar turut menyatakan penghargaan kepada bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepimpinan beliau mengemudi PN sebelum ini.
Beliau menyifatkan bekas Perdana Menteri itu memimpin dengan penuh kesungguhan, kebijaksanaan dan istiqamah dalam mendepani cabaran politik negara. – Info X