SANDAKAN: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dengan mengesyorkan dua ahli keluarganya sebagai penerima Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) walaupun tidak layak.
Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira jam 9.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada 2022 dengan mengesyorkan nama bapa mentua dan adik iparnya sebagai penerima bantuan perumahan itu.
“Rumah yang dibina atas nama kedua-dua penama berkenaan dilaporkan siap pada 2023.
“Bagaimanapun, sehingga 2025 didapati rumah tersebut masih belum didiami, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kelayakan sebenar penerima dan berpotensi menjejaskan objektif program bantuan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dituduh di Mahkamah Seksyen Sandakan dalam masa terdekat. – Info X